ARKIB : 18/01/1998
JOHOR gagal layak ke peringkat
akhir kejohanan Piala Kemerdekaan Vietnam yang berlangsung di Bandaraya Ho Chi
Minh baru-baru ini tetapi pemain pertahanannya dari Australia, Darren Stewart,
menyifatkannya sebagai satu pendedahan yang baik.
''Kami terpaksa mengharungi
tiga permainan dalam tempoh enam hari dan saya yakin pengalaman itu akan
memberikan kebaikan kepada para pemain Johor,'' kata Darren Stewart.
Stewart kembali ke Johor Bahru
semalam bersama-sama Milan Blagjovic, sehari lebih awal daripada rakan-rakan
sepasukan mereka yang lain yang akan tiba hari ini kerana kegagalan untuk
mendapatkan penerbangan ke Johor Bahru.
''Saya rasa ia adalah kaedah
latihan yang baik untuk pasukan Johor bagi menghadapi perlawanan-perlawanan
kelayakan ke liga Perdana Satu tidak lama lagi,'' kata Stewart yang bermain
untuk Johor sejak 1993.
Blagjovic menyertai Johor tahun
lepas. Bagaimanapun, Johor hanya mampu menduduki tangga ke-12 daripada 15
pasukan di dalam Liga Perdana pada musim lepas.
Kedudukan di tangga ke-12 itu
menyebabkan ia tersingkir daripada kejohanan Piala Malaysia.
Pada kejohanan di Bandaraya Ho
Chi Minh itu, Johor gagal ke peringkat akhir setelah ia tewas 0-5 kepada
pasukan Korea Selatan, Ulsan University pada perlawanan separuh akhir pada hari
Khamis.
Stewart percaya Johor adalah
antara pasukan terbaik di peringkat kalayakan liga Perdana Satu yang akan
berlangsung Mac ini di sebuah gelanggang berkecuali.
Enam pasukan _ Johor, Pulau
Pinang, Melaka, Kelantan, Terengganu dan pasukan remaja kebangsaan _ akan
bermain di dalam pusingan kelayakan itu.
''Johor akan diperkuatkan
dengan kembalinya Azmi (Mohamed) dan kini saya diberitahu bahawa Annuar (Abu
Bakar) akan turut kembali ke Johor. Ia adalah satu berita baik untuk pasukan
Johor,'' kata beliau.
Annuar bermain untuk Selangor
selama lima tahun manakala Azmi mewakili Negeri Sembilan selama dua musim. _
Bernama.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQIAYvR5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan