Isnin, 25 Julai 2016

PBSNT adakan majlis tandangani kontrak esok

ARKIB : 24/01/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terngganu (PBSNT) akan mengadakan majlis menandatangani kontrak pemain-pemain pasukan Liga Perdananya, esok.

Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh berkata, seramai 25 pemain termasuk dua pemain import, Jean Nyima dari Camaroon dan Seidu Issifu dari Guinea, akan menandatangani kontrak masing-masing.

Abdullah berkata, dua pemain anak Terengganu yang berkhidmat di Perlis telah pulang untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan penyu musim ini.

Mereka ialah pemain tengah, Badrul Hisham Abdullah dan Anuar Jusoh (pertahanan), yang sudah mula berlatih dengan Terengganu beberapa hari lepas.

Selain itu Sofian Wahid dari Melaka dan Syamsol Musa (Perak) juga menyertai pasukan Terengganu musim ini, katanya.

Beliau berkata, majlis menandatangani kontrak itu akan dilangsungkan di hadapan Presiden yang juga pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh di pejabat persatuan.

Mengenai pengambilan pemain import ketiga bagi mengganti Mohamad Kann yang digugurkan, beliau berkata Terengganu masih mencari penyerang import yang berbisa bagi memantapkan pasukan.

Menurut beliau dua penyerang yang diidamkan, masing-masing dari Iran dan Nigeria hingga kini belum muncul untuk ujian pemilihan sebagaimana yang dijanjikan mereka sebelum ini.

Abdullah berkata, berdasarkan faksimili yang dihantar penyerang dari Iran, Vorosh Fakgsian, dia dijangka tiba di Kuala Terengganu 14 Januari lepas manakala penyerang muda dari Nigeria, Patrick Olalere, sepatutnya sampai Ahad lepas.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Olalere, 24, adalah penjaring terbanyak kelab terkemuka di Nigeria, Scores, yang layak ke perlawanan akhir Piala FA negara itu, katanya.

Abdullah berkata, PBSNT telah menerima maklumat terbaru daripada Fakgsian, semalam mengatakan dia akan tiba di sini untuk ujian pada Ahad ini. Fakgsian dikatakan mengadapi masalah visa untuk datang ke sini. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FQq4rpOo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan