Rabu, 27 Julai 2016

N. Sembilan ikat Affendi dua tahun

ARKIB : 25/02/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) merakamkan penghargaan terhadap Persatuan Bola Sepak Sarawak (PBS) yang dianggap bertindak secara profesional dalam menguruskan perpindahan pemain serangannya Affendi Julaihi ke skuad rusa, lapor MEOR HARMAN MEOR SHAKRI.

Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau percaya kehadiran pemain lincah dari bumi kenyalang itu dapat membentuk gandingan yang lebih mantap bersama Scott Ollerenshaw apabila kedua-duanya berada di atas padang.

Katanya, bagi menguji kombinasi pemain, skuad Rusa akan bertandang ke negara jiran Singapura untuk menyertai jemputan kejohanan empat penjuru yang bermula dari 1 hingga 8 Mac ini.

Menurutnya, pihak persatuan sehingga kini masih belum dapat menilai kemampuan sebenar skuad yang dibentuk untuk musim ini melainkan mengukurnya selepas kejohanan di Singapura.

''Jurulatih M. Karathu sendiri masih lagi berusaha mencuba gandingan pemain baru dan lama tetapi berdasarkan persembahan skuad Rusa pada perlawanan persahabatan dengan beberapa negeri sebelum ini...saya berpuashati,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menyaksikan satu majlis ringkas menandatangani perjanjian kontrak PBNS selama dua tahun dengan pemain import Gus Cerro dan Affendi semusim lagi untuk jurulatih Karathu.

Abdullah berkata, selain kejohanan jemputan di Singapura, skuad Rusa juga akan mengaturkan perlawanan persahabatan dengan beberapa skuad negeri lain khususnya di sebelah Utara.

Katanya, perlawanan persahabatan itu perlu sebagai persiapan awal sebelum kejohanan liga bermula pada April ini.

Sementara itu, ditanya mengenai nasib bekas pemain pertahanan Hungary, Joszef Duro bersama skuad Rusa, menurut Abdullah, pemain itu masih lagi dalam peringkat ujian.

Dalam pada itu, Affendi yang ditemui selepas majlis perjanjian kontrak itu berkata, penghijrahan beliau ke Negeri Sembilan merupakan kali pertama selepas tujuh tahun bersama Sarawak.

Beliau berazam untuk bermain dengan baik dan berusaha untuk membantu skuad Rusa untuk memenangi kejohanan pada musim ini selepas membantu bumi kenyalang memenangi beberapa piala kejohanan yang sama sebelum ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbXBx6S1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan