Sabtu, 23 Julai 2016

Barisan pemain ternama serbu Pulau Pinang

ARKIB : 12/01/1998
PULAU Pinang bakal dibarisi 'bintang-bintang tempatan' pada kempen bola sepak Liga Malaysia musim ini selepas persatuan bola sepak negeri itu mengubah dasar membenarkan pemain tempatan dari negeri lain beraksi untuk pasukan Pulau Mutiara itu, ROZAMAN ISMAIL melaporkan.

Skuad itu dijangka berwajah baru apabila bakal disertai pemain-pemain ternama yang pernah digelar bintang sewaktu bersama bekas pasukan masing-masing.

Jika sebelum ini naib juara Piala FA 1997 itu hanya mengutamakan anak-anak kelahiran negeri itu sahaja, kali ini mereka bersikap lebih terbuka dengan menawarkan peluang kepada mana-mana pemain yang masih belum mempunyai pasukan menyertai pasukan Pulau Pinang.

Ketika skuad Harimau Kumbang itu sudah hampir pasti mengikat pemain Perlis, Domi Che Non, beberapa lagi pemain yang pernah mencipta nama dengan bekas pasukan masing-masing dijangka turut mengikut jejak penyerang itu.

Antara yang menjadi sasaran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ialah bekas pemain pertahanan Kelantan, Zahasmi Ismail dan Fauzi Soh serta dua bekas pemain Selangor yang digugurkan baru-baru ini, Shahrin Majid dan Abdul Talib Sulaiman.

Sebelum ini dua bekas pemain Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan Suharmin Yusuf turut menyatakan minat untuk menyarung jersi Pulau Pinang selepas mengadakan perbincangan dengan FAP.

Selain itu beberapa lagi pemain utama dari Kedah, Pahang dan Perak turut berminat dengan tawaran FAP itu.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad ketika ditemui mengesahkan FAP telah mengadakan perbincangan dengan Shahrin, Talib, Zahasmi dan Fauzi beberapa hari lalu.

''Saya sendiri telah menemui Shahrin dan Talib minggu lalu dan mereka ada menyatakan minat untuk bersama Pulau Pinang.

''Beberapa pegawai jawatankuasa pemilihan pemain juga turut mengadakan perbincangan dengan Zahasmi dan Fauzi.

''Pada masa ini kita sedang menunggu jawapan mereka dan pintu pasukan Pulau Pinang sentiasa terbuka luas untuk mereka,'' katanya lagi.

Mengenai kedudukan Mohd. Jaya dan Suharmin, Dr. Ibrahim berkata, kedua-dua masih belum menolak pelawaan Pulau Pinang sebaliknya sedang menimbangkannya dengan serius.

''Kedua-dua pemain itu ada menghubungi saya beberapa hari lalu sebagai susulan kepada tawaran FAP minggu lalu.

''Mereka masih belum menolak pelawaan kita dan pintu untuk mereka masih terbuka luas walaupun beberapa pasukan lain dikatakan turut memberi tawaran yang sama,'' ujarnya.

Beliau berkata, beberapa pemain dari negeri lain turut menyatakan minat yang sama.

Dr. Ibrahim bagaimanapun enggan menjelaskan identiti para pemain yang dimaksudkan itu.

Bagaimanapun Sukan Utusan difahamkan, Zahasmi dan Fauzi hampir pasti menjadi milik Pulau Pinang kerana kedua-duanya secara dasar amat tertarik dengan gaji serta faedah-faedah yang ditawarkan oleh pasukan itu.

Kedua-duanya dijangka datang ke Pulau Pinang dalam masa beberapa hari lagi untuk mengadakan perbincangan lanjut serta menandatangani kontrak yang ditawarkan.

Ketika ditanya adakah Pulau Pinang akan merasa kecewa sekiranya para pemain tersebut menolak di saat-saat akhir, Dr. Ibrahim menegaskan, soal kecewa tidak timbul langsung.

''Perkara tersebut adalah perkara biasa... para pemain berhak meneliti dan menimbang dengan sebaik-baiknya setiap tawaran yang diterima demi masa depan mereka.

''Kalau tawaran yang diterima baik, menarik, dapat menjamin masa depan serta memberi kepuasan...mereka akan terima dan pasukan yang gagal tidak harus merasa kecewa,'' tegasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FF0r56Z2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan