ARKIB : 20/01/1998
SKUAD Liga Perdana Melaka yang
bercadang mengekalkan tujuh pemain musim lalu nampaknya terpaksa berpuas hati
apabila hanya empat pemain yang bersetuju bersama pasukan itu mengharungi
ranjau Liga Perdana musim depan.
Ini berikutan pemain tambatan
Melaka, Abdul Halim Jantan telah menandatangani kontrak dengan pasukan Negeri
Sembilan baru-baru ini manakala Md. Noor Derus pula akan mewakili pasukan
Terengganu.
Penjaga gol Melaka musim lalu,
Mohd. Hamsani Ahmad yang peringkat awal bersetuju bermain untuk pasukan Melaka
bagaimanapun membatalkan hasratnya itu.
Ini kerana dia telah pun
menghantar surat pembatalan perjanjian untuk mewakili skuad Sang Kancil musim
depan kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) pada 9 Januari lalu.
Ketiadaan ketiga-tiga pemain
itu bermakna hanya empat pemain musim lalu, iaitu K. Ravichandran, Leong Hong
Seng, Hilmi Hassan Farouk dan S. Balan yang akan kekal menyarung jersi Melaka
tahun ini.
Md. Noor bersama seorang lagi
pemain musim lalu, Azlan Meri yang juga ditawarkan untuk mewakili Melaka musim
ini bagaimanapun sehingga kini tidak membalas surat tawaran yang dikemukakan
oleh MAFA.
Presiden MAFA, Datuk Mohamed
Jais, berkata, bagi mengisi kekosongan pemain, syarikat yang menguruskan
pasukan Liga Perdana Melaka musim ini, Flashtasia Sdn. Bhd. dijangka membuat
pemilihan pemain pada Selasa ini di Stadium Kubu, dekat sini.
Namun begitu, Mohamed turut
meminta bakal pengurus dan jurulatih pasukan musim depan, Soh Chin Aun dan G.
Torairaju, untuk menghubungi pemain-pemain yang berminat mewakili Melaka.
''Ini bertujuan memantapkan
lagi permainan pasukan Sang Kancil pada musim depan dan seterusnya memberikan
harapan baru kepada pasukan ini,'' katanya ketika dihubungi di Melaka, semalam.
Seminggu lalu, Mohamed
menyatakan Melaka akan cuba mengekalkan tujuh pemain musim lalu serta memenuhi
kuota tiga pemain import musim depan.
Katanya, beberapa pemain dari
negeri lain turut mencuba nasib dengan pasukan tersebut dalam proses
melengkapkan pemain pasukan Melaka.
Mengenai terlepasnya Abdul Halim
dari genggaman Melaka, katanya, Abdul Halim bersama G. Torairaju ada
menjumpainya sehari selepas menandatangani kontrak dengan skuad Negeri Sembilan
bagi menjelaskan perkara tersebut.
Mohamed berkata, Abdul Halim
memberitahunya dia bersetuju bermain dengan negeri jiran itu setelah dia tidak
menerima sebarang surat tawaran Melaka.
Pada Liga Perdana musim
hadapan, Melaka terpaksa bermain pada perlawanan play-off untuk melayakkan diri
ke Liga Perdana Satu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQP3zvzw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan