ARKIB : 16/02/1998
PENYERANG Kuala Lumpur, S.
Paidiyah Rau mempunyai misi peribadi dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 15
gol musim ini untuk membantu pasukannya dalam bola sepak Premier Satu.
Paidiyah yang dibawa masuk
dalam pasukan itu oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk
Seri Megat Junid Megat Ayub pada pertengahan musim lalu, menjaringkan lapan
gol, enam dalam Liga Perdana dan dua dalam Piala Malaysia.
Pemain berusia 24 tahun berasal
dari Perak itu sebelum ini hanya bermain dalam kelab di negerinya.
''Saya mahu jaringkan
sekurang-kurangnya 15 gol musim ini. Saya yakin akan dapat penuhi sasaran
peribadi saya itu berdasarkan kecergasan saya yang semakin meningkat.
''Saya harap semua rakan
pasukan di barisan tengah dan bawah membantu saya untuk kemenangan pasukan,''
katanya.
Begitupun, Paidiyah turut
mengharapkan bantuan daripada rakan penyerangnya yang kini masih belum
ditentukan.
''Saya harap penyerang yang
akan bergandingan dengan saya nanti akan dapat menyesuaikan diri dengan cara
permainan saya,'' katanya.
Kuala Lumpur sedang menunggu
seorang pemain import, Abu Bakar Balarde Mallam yang akan digandingkan dengan
Paidiyah.
Abu Bakar belum tiba di negara
ini kerana menghadapi masalah penerbangan dari negaranya, Nigeria.
Musim lalu, Paidiyah
digandingkan dengan pemain import dari Argentina, Norberto Dario Decoud dan
pemain Brazil, Adilson Roque.
Bagaimanapun, kontrak kedua-dua
pemain itu tidak disambung oleh KLFA musim ini.
Kuala Lumpur kini hanya
mempunyai tiga penyerang iaitu K. Nanthakumar, Nizaruddin Ahmad selain
Paidiyah.
''Selain misi peribadi, saya
mahu penuhi harapan pengurusan pasukan terutama jurulatih Chow Kwai Lam untuk
menjulang sekurang-kurangnya satu piala dalam pertandingan Liga Malaysia musim
ini,'' tambahnya.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FVaS4j1F
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan