Sabtu, 23 Julai 2016

9 pemain diberi peluang sertai ujian pemilihan

ARKIB : 05/01/1998
SEMBILAN pemain skuad Liga Perdana Sabah, yang sebelum ini dicadang untuk digugurkan, diberi peluang terakhir membuktikan diri sekiranya mereka mahu terus mewakili Sabah dalam saingan musim ini.

''Selepas mengkaji pendapat dan cadangan jurulatih tempatan, kami merasakan mereka (para pemain) patut diberi peluang terakhir sebelum satu keputusan muktamad dibuat.

Tambahan pula mereka telah menyumbang kepada kejayaan skuad Sabah pada masa lepas,'' kata presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Anifah Aman ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau berkata SAFA berpendapat khidmat para pemain berkenaan, terutama pemain berpengalaman, masih diperlukan untuk memantapkan pasukan itu.

''Lantaran itu, SAFA memutuskan memanggil kesemua pemain dari skuad tahun lepas termasuk mereka yang dicadangkan untuk digugurkan menyertai ujian pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi, mungkin dalam bulan ini,'' katanya.

Pada 14 Disember tahun lepas, setiausaha agung SAFA Ansari Abdullah mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 13 pemain akan digugurkan musim ini berdasarkan kepada cadangan jurulatih Ronald Smith kepada majlis tertinggi SAFA.

Anifah berkata jawatankuasa pengurusan SAFA, dalam mesyuaratnya baru-baru ini, pada dasarnya bersetuju melepaskan empat daripada 13 pemain termasuk pemain tengah Seslija Milomir dan penyerang Scott Ollerenshaw, Suharmin Yusof dan Mohd. Jaya Kassim.

Bagaimanapun nasib sembilan pemain lagi belum dapat ditentukan.

Sembilan pemain berkenaan ialah Abdullah Adi, Jainin Tinin, Yap Wai Loon, Dunian Sulog, Ramlan Silamat, Gapor Mohammad, Jekerison Kilan, Johnny Dominicus dan Richard Ribu.

''Keputusan untuk meluluskan pelepasan awal Milomir dan Ollerenshaw dibuat semata-mata untuk menjimatkan perbelanjaan pada ketika kegawatan ekonomi masa kini. Mungkin sukar untuk mendapatkan penaja untuk mereka,'' kata Aniffah.

''Kami berharap penyokong memahami kedudukan SAFA dan tidak kecewa dengan langkah ini. Mereka merupakan antara pemain asing yang bergaji tinggi di negara ini,'' katanya.

Anifah berkata SAFA belum lagi memutuskan pengganti mereka tetapi membayangkan bahawa persatuan itu mungkin mendapatkan pemain yang lebih murah dari Eropah atau Afrika.

Johor dilaporkan berminat mengikat Ollerenshaw manakala Suharmin dan Mohd. Jaya hampir pasti bersama Pulau Pinang musim ini. Kedudukan Milomir pula masih belum diketahui.

Ditanya bila nama para pemain kontrak negeri akan diumumkan, Anifah berkata perkara itu akan dilakukan selepas masalah pemecatan SAFA daripada Majlis Sukan Sabah (SSC) diselesaikan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FDdSB0t6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan