ARKIB : 03/01/2000
Serangan KL mantap dengan kehadiran
Azman
JURULATIH Kuala Lumpur, Mat Zan
Mat Aris mengakui jika Azman Adnan sah menyarung jersi pasukan warga kota untuk
cabaran bola sepak Liga Malaysia musim ini, tugasnya untuk memperkukuhkan
jentera serangan menjadi sedikit ringan.
Mat Zan tentu juga berasa lega
kerana yakin penyerang berusia 29 tahun itu bukan sahaja mampu menyuntik nafas
baru buat skuad mudanya tetapi menjadi 'pembimbing' kepada semua pemain.
''Sudah tentu Azman nanti akan
menjadi sandaran utama untuk menjaringkan gol. Cuma sekarang ini saya sedang
memikirkan siapa yang bakal menjadi rakannya di barisan depan,'' kata Mat Zan
semalam.
Menurut jurulatih itu yang
terus diberi kepercayaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk
membimbing pasukan buat semusim lagi, penyerang mudanya, Mohd. Nizaruddin Yusof
dan penjaring terbanyak Kuala Lumpur, Mohd. Farid Dewan menjadi fokus utama
sebagai gandingan Azman.
''Secara peribadi, saya nampak
Nizaruddin lebih sesuai kerana dia memiliki ciri-ciri sebagai penyerang sokongan
atau feeder.
''Dia memiliki kemahiran
mengawal bola yang tinggi dengan hantaran-hantaran ke gawang yang baik. Saya
pasti Azman mudah bekerja dengannya,'' ujar Mat Zan.
Namun, Mat Zan tidak
mengetepikan kebolehan Farid yang dianggapnya lebih licik.
''Cuma Farid perlukan sokongan
penuh rakan penyerang lain kerana dia ada kepakaran menjaringkan gol,''
tambahnya.
Dalam kempen Liga Malaysia
musim lalu, Nizaruddin, penyerang berusia 22 tahun yang dipanggil untuk latihan
skuad kebangsaan kendalian Abdul Rahman Ibrahim, lebih banyak membantu Farid
menjaringkan gol.
Farid adalah penjaring utama
warga kota dengan lapan gol sepanjang musim lalu.
Mat Zan juga mengakui kehadiran
Azman nanti mampu mengubah situasi rumit Kuala Lumpur di depan gawang lawan
selain dia boleh bertindak sebagai 'abang' untuk membimbing pemain mudanya.
''Kita sukar sekali mencari gol
kerana barisan depan yang kurang mantap. Mungkin Azman mampu mengubahnya,''
ujarnya.
Dalam kempen Perdana Satu musim
lalu, Kuala Lumpur bagaimanapun mencatat hasil agak memberangsangkan apabila
berjaya menjaringkan 25 gol daripada 18 perlawanan liga, tetapi memboloskan 29
gol.
Begitu pun kata Mat Zan,
segalanya bergantung kepada kehadiran Azman untuk mengubah situasi itu dan jika
perancangan KLFA untuk memikat pemain itu gagal, Nizaruddin dan Farid akan
terus menerajui pasukan musim ini.
Azman, penyerang yang dibeli
Pulau Pinang musim lalu dan masih mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul
penjaring terbanyak Perdana Satu dengan 15 gol, kini bebas daripada ikatan
kontrak dengan mana-mana pasukan.
Kuala Lumpur dikatakan sedang
berusaha mendapatkan khidmat pemain itu untuk memperkukuhkan cabaran musim
baru.
Kuala Lumpur kini sedang giat
berlatih dan mereka dijadual menentang Polis pada perlawanan persahabatan di
padang Pulapol, Kuala Lumpur, petang ini.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4F8aVEudW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan