ARKIB : 05/03/1998
JOHOR, yang hanya mampu seri
1-1 dengan Terengganu pada pusingan kelayakan Liga Perdana di Kuala Terengganu
kelmarin, terpaksa membuat perancangan lain bagi menghadapi tiga baki
perlawanan jika mahu beraksi pada Premier Satu liga.
Jurulatih Johor K. Sukumaran
nampak risau dengan kemampuan para pemainnya yang menyaksikan Terengganu
merampas satu mata selepas berjaya mencuri gol penyamaan pada saat-saat
terakhir.
Katanya Johor sepatutnya menang
pada perlawanan itu yang akan memberikannya kelebihan sebelum berdepan dengan
Kelantan di gelanggang sendiri Sabtu ini.
''Keadaan ini dialami Johor
sejak sekian lama, membenarkan pihak lawan menjaringkan gol dan kehilangan mata
penuh. Saya perlu bekerja lebih keras bagi mengatasi masalah ini.
''Kita hanya mempunyai empat
perlawanan sebelum ke separuh akhir. Setiap mata amat berharga. Ketika
menentang Terengganu, ia kesilapan kita membenarkan mereka mendapatkan gol
penyamaan,'' kata Sukumaran.
Sukumaran juga sedar yang
Kelantan bukannya lawan yang mudah ditewaskan, walaupun bermain di Stadium
Larkin. Beliau menjangkakan Kelantan sama gagah seperti Terengganu.
Johor akan menyambung semula
latihan esok selepas berehat hari ini.
Sementara itu, Kelab Penyokong
Bola Sepak Johor (KPBSNJ) akan digabungkan dan bersatu untuk memberi sokongan
kepada pasukan bola sepak negeri yang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ).
Presiden PBNJ, Datuk Mohd. Ali
Hashim berkata pendaftaran keanggotaan kelab boleh dibuat menerusi kaunter khas
di Plaza Kota Raya di Johor Bahru hari ini.
Katanya keanggotaan kelab itu
terbuka kepada semua individu yang berminat terutamanya kepada mereka yang
sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak Johor.
Katanya, keanggotaan kelab
dibahagikan kepada dua kategori iaitu remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun
dengan bayaran RM35 setahun dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas dengan
RM60.
Mohd. Ali berkata pemohon juga
perlu menyertakan dua keping gambar untuk mendapatkan kad ''Jengking'' yang
tidak boleh ditukar atau dipindah milik.
Menurutnya, anggota kelab ini
juga akan menerima potongan harga tiket sebanyak 10 peratus untuk menyaksikan
perlawanan bola sepak Liga Perdana termasuk menikmati potongan belian barangan
di samping kemudahan pengurusan pengangkutan untuk menyaksikan pertandingan di
tempat lawan.
Sementara itu Persatuan Bola
Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan hanya mendaftar 22 pemain bagi menghadapi
Liga Perdana musim ini sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan.
Setiausaha Agungnya, Abdullah
Salleh semalam berkata, persatuan merasakan tenaga tiga lagi pemain tidak
diperlukan memandangkan pemain-pemain yang ada mampu memenuhi matlamat
Terengganu.
''Bagaimanapun, kita akan
mengkaji dan melihat prestasi pemain yang ada, sama ada perlu atau tidak
mendaftarkan tiga pemain itu,'' katanya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) membenarkan sehingga 25 pemain didaftarkan untuk mewakili sesuatu pasukan
pada Liga Malaysia yang dijadual bermula bulan depan. - Bernama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4FcqSCBYK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan