Jumaat, 29 Julai 2016

Piala Sultan Ahmad Shah milik siapa?

ARKIB : 04/04/1998
KEHANGATAN aksi kembali lagi, lebih mendebarkan menerusi cabaran baru yang mengiringi perlawanan pembuka tirai Perdana Satu 1998 termasuk pertemuan Sumbangsih antara Sarawak dengan Selangor bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, di Kuching, malam ini.

Musim ini ternyata banyak berubah, menyaksikan Perdana Satu terpaksa merelakan perpisahan empat pasukan, Melaka, Johor, Kelantan dan Terengganu yang beraksi dalam Perdana Dua sambil mengucapkan Selamat Datang kepada pasukan baru, Olimpik 2000.

Dengan tumpuan utama kepada perlawanan Sumbangsih, corak permainan lampau mungkin menjadi senjata dua pasukan, skuad Bumi Kenyalang dan ''Red Giants'' dalam pertemuan, di Stadium Sarawak.

Tidak banyak perubahan dalam kesebelasan skuad Selangor, jurulatihnya tetap sama, Steve Wicks, kecuali kehadiran bekas pemain import Perlis, Alexander Freeman yang mengambil tempat Christoper Kiwomya serta pentadbiran baru di bawah pengurus Datuk Mokhtar Ahmad.

Begitu juga dengan Sarawak, masih dilatih oleh Alan Vest manakala Alistair Edwards dan Billy Bone turut disenaraikan semula, cuma David Evans yang mengalami kecederaan terpaksa digantikan Doug Ithier.

Walaupun kehilangan seorang lagi tonggak, penyerang ''lipas kudung,'' Affendi Julaihi, Sarawak diselamatkan oleh pemain yang dilabel ''bernilai'' RM9.95, Bobby Chua.

Brunei juga tidak banyak perubahan, dengan barisan pemain sama, skuad Borneo yang dijangka mempamerkan corak seperti musim lalu, bakal berhadapan skuad Olimpik 2000 di Stadium Merdeka.

Bukan setakat tidak pernah ''bertentang mata'' sehingga menyukarkan Brunei untuk mengetahui corak permainan skuad Olimpik 2000, malah kelincahan pemain bimbingan Hatem Souissi yang masih muda ternyata mencemaskan.

Selain Sarawak, Selangor dan Brunei, pencapaian musim lalu tidak boleh terlalu dijadikan ''bahan rujukan'' buat mengkaji lapan pasukan yang beraksi malam ini.

Perak yang mengekalkan pemenang kasut emas, LaszLo Repasi dan pemain pertahanan Janos Krecska dari Hungary, masalah kecederaan sebahagian pemain menghantui pasukan bimbingan jurulatih, Karl Heinz Weigang bagi menghadapi Perlis.

Agak bernasib baik Perak kerana lawannya, Perlis dilihat sebagai tidak sehebat musim lalu.

Tidak hanya pemain handalan, Badrulhisham Abdullah, Anuar Jusoh, Domi Che Non dan Amran Omar sanggup meleraikan ikatan dengan Perlis, malah jurulatih Abdul Rahman Ibrahim turut ''berpatah arang, berkerat rotan'' untuk meninggalkan Singa Utara.

Sukar untuk meramalkan pertemuan kedua-dua pasukan kerana permainan dijangka seimbang apabila di satu pihak iaiu Perak menghadapi masalah kecederaan manakala Perlis pula kehilangan ramai pemain berwibawa.

Sementara, Kedah sekalipun mengekalkan trio import, Kane Mamadou Mariyam Diallo, Andre Luis Nascimento serta Carlos Roberio, corak permainannya mungkin berubah.

Dibawah kendalian jurulatih baru Fisol Abdul Razak yang mengambil alih tugas Mosthakeen Omar, Kedah bakal berdepan dengan Kuala Lumpur di Stadium Darulaman, Alor Setar dengan wajah baru termasuk tanpa khidmat tonggak berpengalaman, Manja Man dan Ahmad Sobri Ismail.

Dengan Pulau Pinang menjadi destinasi Ahmad Sobri Ismail menabur bakti, skuad Harimau Kumbang semakin mantap dibarisi lain-lain pemain termasuk dari Kelantan, Zaidi Mat Ail dan Fauzi Soh serta bekas penyerang Perlis, Domi.

Bagaimanapun, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, lawan menanti merupakan pasukan paling digeruni musim ini, Negeri Sembilan memperlengkapkan barisan terbaik menerusi gandingan baru Dollah Salleh, Ahmad Shahrul Azhar, Affendi serta Scott Ollerenshaw.

Penghijrahan Ollerenshaw ke Negeri Sembilan memberi kesan kepada Sabah yang turut mengetepikan khidmat Bobby, Seslija Milomir serta jurulatih Ronalds Smith.

Daripada sebuah pasukan cukup disegani, Sabah memulakan musim 1998 dengan menimbulkan banyak tanda tanya mengenai kemampuan sebenarnya tanpa pemain bertaraf bintang di barisan serangan.

Jika Sabah masih berupaya mengekalkan rentak sama, lawannya Pahang yang menyingkirkan khidmat perancang Zsolt Bucs dan Istvan Borsos agak berkemampuan kerana masih mempunyai Azizul Kamaluddin untuk mengatur serangan.

Kesimpulannya, pertemuan membabitkan 12 pasukan sukar untuk diramalkan tetapi cabaran hebatnya pasti dirasai sebaik tersingkap tirai babak baru, Perdana Satu.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FrKcZH8E © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan