Isnin, 25 Julai 2016

Hopkins yakin kekuatan Selangor

ARKIB : 02/02/1998
JEFF Hopkins yakin Selangor mampu terus mempamerkan kecemerlangan pada Kejohanan Bola sepak Liga Malaysia musim ini.

Menurut Hopkins, sekalipun Selangor menampilkan ramai muka baru musim ini, situasi ini tidak menjejaskan kemantapan yang dilalui musim lalu.

''Musim lalu ditempoh dengan penuh gemilang. Itulah saat yang paling membanggakan buat saya ketika menjulang Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA.

''Musim ini juga saya tetap mengharapkan kejayaan itu dapat dikekalkan biarpun penampilan kali ini melihat Selangor tanpa beberapa muka lama,'' kata Hopkins ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, penampilan muka baru kali ini seharusnya dipandang positif.

Malah beliau tetap yakin gandingan muka baru dengan beberapa pemain berpengalaman mampu menyuntik kekuatan yang seimbang dengan skuad musim lalu.

''Kita seharusnya perlu mengenengahkan pemain muda dan tidak terlalu bergantung kepada pemain berpengalaman,'' katanya.

Jelasnya kecemerlangan Abdul Hadi Tahir, Nazzab Hidzan, Mohd. Rizal Hasan dan Aizal Lamin membuktikan barisan baru kali ini juga mampu mengikut jejak langkah itu.

''Saya yakin barisan yang disenarai kali ini adalah yang terbaik. Inilah satu-satunya peluang pemain mudah mendapat pendedahan,'' katanya.

Dia juga tidak menolak ketiadaan Shahrin Majid, Yap Kam Choon, Ismail Ibrahim, Abdul Talib Sulaiman, Mubin Mokhtar, Annuar Abu Bakar dan K. Gunalan sedikit menjejaskan kemantapan Merah Kuning.

Namun buat Hopkins ketiadaan Christopher Kiwomya lebih dirasakan.

''Dia seorang pemain yang hebat dan saya faham keputusan Selangor tidak menawarkan kontrak kepadanya. Cuma sekarang kita perlu mendapatkan pemain sehebatnya agar dapat digandingkan dengan Azman,'' kata pemain itu yang kontraknya dilanjutkan untuk musim kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FR6ciM00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan