ARKIB : 19/01/1998
SEGALA teka-teki yang melanda
juara Piala Malaysia musim lalu Selangor sudah terjawab dengan jurulatih Steve
Wicks terus kekal bersama dua tenaga import Mehmet Durakovic dan Jeff Hopkins
untuk tempoh semusim lagi.
Selangor kini sudah boleh
memulakan langkah awal membuat persiapan rapi dalam usaha mempertahankan
keunggulan yang diraih musim lalu mendakap Piala Malaysia, Piala FA dan Piala
Sumbangsih apabila kancah Liga Perdana bermula Mac ini.
Menilai satu persatu senarai 23
pemain yang membawa cabaran Selangor dalam Premier Satu nanti, Wicks sedar
tugasnya bukan semudah dijangkakan tidak seperti ketika menjejakkan kaki musim
lalu.
''Musim ini saya terpaksa
bekerja keras lebih daripada musim lalu. Barisan kali ini tidak memberikan saya
banyak pilihan sebaliknya menyaksikan ramai muka baru yang belum pernah saya
lihat aksi mereka bermain dalam liga,'' ujar Wicks.
Jurulatih itu membayangkan jika
Selangor masih memiliki Mubin Mokhtar, Yap Kam Choon, K. Gunalan, Ismail
Ibrahim, Annuar Abu Bakar, Shahrin Majid atau Talib Sulaiman mungkin masih ada
ruang untuk mengisi jika ada pemain utama yang dilanda kecederaan yang serius.
Sebaliknya kini Wicks terpaksa
meneliti keupayaan enam muka baru yang belum pernah beraksi dalam kancah
saingan liga.
Mereka ialah Abdul Rauf Ahmad,
Azzmi Abd Aziz, Amali Amir, Amirul Zain Ismail, Mohd Gadaffi Md Karim dan V.
Yogeswaran.
''Cuma saya ada 11 pemain
berpengalaman dan enam pemain muda yang beraksi dalam kancah saingan liga dan
Piala Malaysia.
''Memang pilihan yang berada di
tangan saya terbatas. Ini memaksa saya perlu meneliti secara terperinci untuk
menentukan posisi dan keberkesanan setiap seorang pemain,'' jelasnya.
Sekalipun pada pemerhatian
secara kasar, barisan kali ini tidak mempunyai kekuatan yang sama seperti musim
lalu, namun jurulatih itu enggan menjadikan sebarang alasan mengapa Selangor
tidak mampu menjejaki kejayaan yang dirintis menjulang tiga kejuaraan pada
1997.
''Tugas saya memang berat
tetapi ini tidak mematahkan semangat saya untuk memastikan impian musim ini
tetap menjadi milik Selangor,'' ujarnya lagi.
Berdasarkan prestasi mendadak
pemain muda musim lalu ketika menjulang Piala Malaysia seperti Aizal Lamin,
Abdul Hadi Tahir, Nazzab Hidzan, Mohd Rizal Hasan, Hairil Zamri Abdul Rashid
dan Shamsul Amri Abu Bakar, beliau turut mengharapkan kelibat enam muka baru
dapat memberikan persembahan terbaik.
Lebih memeningkan Wicks adalah
untuk mencari pengganti penyerang kontroversi Azman Adnan selepas Selangor
tidak berupaya mendapat khidmat Christopher Kiwomya yang menjadi hero membantu
Selangor mengekalkan gelaran Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut 20
Disember lalu.
''Saya masih belum ada bayangan
siapa yang akan mengganti tempat Kiwomya. Ini perlu saya lihat pada sesi
latihan awal bulan depan,'' katanya.
Ketiadaan Kiwomya pastinya
membuka ruang kembali kepada bekas penyerang skuad Olimpik, Rusdi Suparman,
penjaring terbanyak Liga Simpanan musim 1996 Hairil Zamri dan Mohd Rizal Hasan.
Namun jika Selangor masih
mengekalkan khidmat Annuar dan Shahrin mungkin banyak pilihan kepada Wicks
untuk mencatur strategi mantap di bahagian serangan.
Khidmat Kam Choon, Mubin,
Ismail, Talib dan Chandran menjadi kumpulan pertama yang diketepikan oleh
Selangor sebelum melepaskan ikatan Anuar dan K. Gunalan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FQKnMxtk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan