Isnin, 25 Julai 2016

Perak daftar 20 pemain

ARKIB : 14/01/1998
PERAK dijangka mendaftarkan 20 pemain sahaja untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan skuad Seladang itu.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan setiap pasukan mendaftar 25 pemain tetapi Perak tidak akan berbuat demikian.

Sehubungan dengan itu katanya, Perak akan memilih pemain- pemain yang berkualiti sahaja serta mampu membawa cabaran bersama pasukan itu.

Raja Ahmad membayangkan Perak akan mengekalkan 13 pemain yang mempamerkan persembahan menarik sepanjang musim lalu bagi musim baru ini.

Tiga pemain pertahanan _ Khairul Anuar Baharom, Roslan Hamid dan Chan Kok Heng dikekalkan dan mereka akan berganding dengan pertahanan dari Hungary, Janos Krecska.

L. Suresh, Ahmad Shahrul Azhar, Azrul Amri Burhan dan Lim Seng Kong merupakan empat pemain tengah yang akan terus dikekalkan musim depan.

Penjaring kedua terbanyak Perak, Mat Zahir Wahab yang ditimpa kemalangan sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia tahun lalu akan terus dikekalkan dalam skuad Seladang itu.

Mat Zahir yang menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana lalu akan digandingkan dengan pemenang Anugerah Kasut Emas, Laszlo Repasi bagi memantapkan serangan Perak kelak.

Selain Mat Zahir, M. Nagarajah dan P. Gunasekaran turut dikekalkan pada musim akan datang sebagai penyerang skuad Seladang.

Tiga penjaga gol, Suhaimi Mat Lazim, Ramzi Rizuwan dan Azhar Ahmad akan terus mengawal gawang Perak musim baru ini.

Tiga pemain pertahanan _ Syamsol Saad, Zainal Abidin Abu Bakar dan Ghani Malik serta pemain tengah, Amzanie Che Ani yang tamat kontrak bulan lalu tidak mahu lagi bersama-sama Perak.

Syamsol Saad akan berpindah ke Terengganu dan Ghani Malik pula dikatakan akan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Perak juga berusaha membawa masuk pemain penyerang Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan penjaga gol Negeri Sembilan, V. Murugan bagi memperkuatkan lagi skuad Seladang tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FPMYvSIW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan