ARKIB : 05/04/1998
ELAK... Penyerang Negeri
Sembilan Scott Olleranshaw (kanan) diasak oleh pertahanan Pulau Pinang Mohd.
Zaidi Mail pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman
Paroi, Seremban malam tadi. Pulau Pinang menang 3-0.
JUARA liga, Sarawak mencatat
permulaan cemerlang apabila melenyapkan cabaran Selangor 3-1 pada perlawanan
pembuka tirai Liga Perdana Satu merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium
Sarawak, malam tadi.
Dua gol jaringan Ramos Sari
pada minit ke-19 dan 25 dan satu gol menerusi Alistair Edwards minit ke-29
sudah memadai bagi skuad Bumi Kenyalang untuk menjuarai perlawanan Sumbangsih,
sekali gus merebut tiga mata penuh bagi Perdana Satu.
Sementara gol tunggal Selangor
diperoleh melalui rembatan kencang Azman Adnan minit ke-21 hasil umpanan
cemerlang Mohd. Rizal Hassan.
Sarawak pernah beraksi pada
perlawanan pembuka tirai liga musim 1993 tetapi kecundang 1-5 kepada Pahang.
Bermain di atas padang licin
dan disaksikan kira-kira 15,000 penonton, kedua-dua pasukan mempamerkan
persembahan yang berhati-hati dan sesekali menggugat benteng lawan.
Bagaimanapun, anak-anak buah
Alan Vest lebih pantas membuat ancaman apabila Bobby Pian membuat tendangan
liar seawal minit pertama perlawanan.
Hujan yang turun dengan lebat
tidak sedikitpun melonggarkan serangan Sarawak yang bertali arus apabila
percubaan Ramos Sari dan Mohd. Ali Sapiee minit kelima dan keenam meresahkan
kubu pertahanan Merah Kuning.
Keadaan cemas itu memaksa
pemain-pemain Selangor bertahan dan ada ketikanya corak permainan yang dihidangkan
kelihatan bercelaru.
Namun begitu, selaku juara
Piala Malaysia sebanyak 28 kali, Selangor tidak mudah gelabah dan tenang
mengatur serangan.
Sambil dibantu Zainal Abidin
Hassan di barisan pertahanan, jentera Selangor gigih melakarkan percubaan tetapi
gagal melakukan penyudah yang tepat.
Aizal Lamin mempunyai peluang
terbaik minit ke-13 untuk membocori pintu gol Sarawak tetapi tendangannya tepat
ke dakapan penjaga gol, Mazlan Wahid.
Seminit selepas itu, Azman
turut mempunyai kesempatan terbuka tetapi rembatannya melencong dari sasaran.
Bermain di kandang sendiri,
Sarawak terus bergaya melakukan tindak balas dan Mohd. Ali Sapiee hampir
memalit malu buat Selangor minit ke-18.
Saingan bertambah rancak dan
kedua-dua pasukan saling memburu jaringan.
Minit ke-33 menyaksikan pemain
Kenyalang, Ahmad Fairus dibuang padang oleh pengadil, Mohd. NazriAbdullah
kerana mengasari Alexander Freeman.
Namun begitu, berjuang dengan
10 pemain tidak mematahkan semangat kental Sarawak untuk terus mengancam
kekebalan Selangor.
Sebaik saja babak kedua
perlawanan dimulakan, Sarawak terus mengasak ke kubu lawan dan percubaan ketua
pasukan, Billy Bone minit ke-54 dan 56 gagal menambah koleksi jaringan buat Bujang
Senang.
Perjuangan Selangor untuk
memburu jaringan, sekurang-kurangnya untuk menyamakan kedudukan, sudah
terlambat apabila wisel penamat dibunyikan.
SARAWAK: Mazlan Wahid, Ahmad
Fairuz Yunus, Dahalan Matussin, Roslan Ismail, Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian,
Ibrahim Mantali, Ramos Sari (Ramles Sari), Billy Bone (Ketua), Doug Ithier,
Alistair Edwards.
SELANGOR: Abdul Hadi Tahir,
Zainal Abidin Hassan, Aizal Lamin, Jeff Hopkins, Asroff Hanafiah, Alexander
Freeman, Mehmet Durakovic, Nazzab Hidzam (Azmi Aziz), Shahril Arsat (Rusdi
Suparman), Mohd. Rizal Mohd. Hassan, Azman Adnan.
PENGADIL : Mohd. Nazri
Abdullah.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FrXbFllX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan