Sabtu, 23 Julai 2016

Melaka kekal 7 pemain lalu


 

ARKIB : 11/01/1998

MOHAMAD JAIS.

SKUAD Liga Perdana Melaka yang terpaksa bermain pada perlawanan play-off untuk melayakkan diri ke Liga Perdana Satu musim depan, mengekalkan tujuh pemain musim lalu serta akan memenuhi kuota tiga pemain import untuk mengharungi kancah liga musim depan.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa), Datuk Mohamad Jais, pasukan tersebut akan cuba memenuhi tiga kuota pemain import bagi memperkuatkan barisan pemain yang dikekalkan musim depan, jika kewangan mencukupi.

''Berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Mafa dengan sebuah syarikat swasta, kita berharap mereka boleh menaja pasukan ini untuk mendapatkan tenaga import yang diperlukan.

''Kita akan cuba menggunakan tiga tenaga import untuk memantapkan pasukan yang dibarisi oleh kebanyakannya pemain musim lalu,'' katanya ketika dihubungi, di Melaka, semalam.

Walau bagaimanapun, Mohamad enggan mendedahkan nama pemain-pemain musim lalu yang dikekalkan bagi mengelakkan rasa 'besar diri' di kalangan mereka yang dikekalkan serta rasa kecewa di kalangan pemain yang terpaksa digugurkan.

Skuad Melaka musim depan akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta iaitu, Flashtasia Sdn. Bhd., yang akan bertanggungjawab mengurus perjalanan skuad berkenaan.

Sementara itu, menurut Mohamad, skuad Melaka yang diterajui oleh bekas pemain kebangsaan, Soh Chin Aun selaku pengurus, bersama-sama dengan Tajuddin Nor, serta G. Torairaju sebagai jurulatih masih melakukan pemilihan pemain untuk melengkapkan senarai akhir, sebelum sepak mula dilakukan, Mac ini.

Katanya, sejak 15 Disember lalu, Chin Aun dan Torairaju telah mengendalikan pemilihan pemain di padang Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, namun kerana masalah padang yang teruk, pemilihan seterusnya akan dilakukan semasa ujian perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan.

''Kita akan meneruskan pemilihan pemain semasa perlawanan persahabatan nanti sebelum skuad ini diserahkan kepada syarikat berkenaan yang akan mengendalikan satu lagi pemilihan pada 12 Januari ini di Stadium Kubu,'' katanya.

Katanya, semasa proses pemilihan tersebut dijalankan, beberapa pemain dari negeri lain turut mencuba nasib dengan pasukan tersebut, tetapi masih dipertimbangkan.

''Memang ada pemain dari negeri lain menjalani pemilihan dengan kita, tetapi kita masih menilai kemampuan mereka,'' tambahnya yang enggan mendedahkan nama-nama pemain tersebut.

Mengenai tenaga import, Mohamad menjelaskan, sehingga kini beberapa orang pemain dari Morocco, Pakistan dan enam pemain Ghana turut serta dalam sesi pemilihan yang dilakukan.

''Pemain Morocco dan Pakistan yang hadir tidak sesuai dengan pasukan kita, manakala pemain-pemain Ghana tersebut masih dinilai kemampuan mereka.

''Selepas ini beberapa pemain dari Iran dan Brazil juga dijangka akan menjalani pemilihan dengan skuad ini,'' katanya.

Menurutnya, seboleh-bolehnya, Melaka ingin menggunakan tiga pemain import yang dibenarkan terutama jika Melaka terpilih ke Liga Perdana Satu.

Musim lalu Melaka menggunakan tiga khidmat pemain import dari Nigeria iaitu Abubakar Sadiq, Mohamed Mohamed dan Tajudeen Usman Olaiya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sasaran skuad itu musim depan ialah cuba melayakkan diri ke bahagian pertama sebelum berusaha untuk melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia.

''Sasaran kita ialah juara atau naib juara, kerana dengan wang kemenangan itu kelak, kita akan memantapkan lagi pasukan ini untuk tahun 1999,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FEEZcAhG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan