Sabtu, 23 Julai 2016

Dollah Salleh belum ada pasukan

ARKIB : 11/01/1998
SETELAH 'dilepaskan' dengan hati yang berat oleh skuad Liga Perdana Melaka, nasib bekas pemain tengah kebangsaan, Dollah Salleh terus tidak ketentuan, REDY JEFFRY MOHAMAD RAMLI melaporkan.

Dollah, 33, yang dihubungi semalam, enggan mengulas mengenai masa depannya menjelang Liga Perdana musim baru yang bermula Mac depan.

Keenggannya memberikan apa-apa perkembangan mengenai masa depannya itu, seolah-olah menggambarkan rasa kecewa dan terkilannya terhadap senario yang dihadapinya sekarang.

Walaupun pernah menyarung jersi kebangsaan dan kepakarannya diiktiraf, serta pernah membantu skuad Johor, Selangor dan Pahang bersama-sama Zainal Abidin Hassan, dia kini seperti dilupakan.

Selepas kontraknya tidak disambung oleh pasukan Melaka, Dollah dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk skuad Bujang Senang, yang dikatakan ada berunding dengan pemain tersebut untuk ditawarkan bermain untuk mereka.

Namun kenyataan jurulatih merangkap pengurus pasukan itu, Alan Vest yang menafikan 'berminat' untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut ternyata mengecewakan Dollah.

Selepas itu, Dollah seperti menyepikan diri, membawa diri tanpa sebarang khabar mengenai nasibnya menjelang Liga Perdana 'wajah baru', Mac ini.

Ketika ditanya mengenai pasukan mana yang akan diwakilinya musim depan, Dollah sekadar berseloroh akan mewakili pasukan 'Sungai Buloh F.C.'.

Ditanya juga, sama ada pasukan lain menawarkan tempat dalam pasukan mereka untuk musim depan, Dollah hanya mengatakan bahawa buat masa ini belum ada apa-apa perkembangan mengenainya.

Jelas sekali, Dollah yang menjadi wira pasukan Melaka musim lalu, seperti dipersenda banyak pihak walaupun terbukti pada usia begitu, dia masih bertenaga untuk beraksi cemerlang.

Musim lalu, Dollah muncul penjaring terbanyak pasukan Melaka dan sering menjadi penyelamat pasukan yang dibimbing oleh Tajuddin Nor itu dalam kancah persaingan liga.

Namun Melaka terpaksa melepaskan pemain berharga itu atas alasan tidak mampu untuk membayar gaji yang dituntut oleh pemain berkenaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Mohamad Jais yang dihubungi di Melaka, semalam berkata, pasukan itu terpaksa melepaskan Dollah kerana tidak mampu membayar gajinya mengikut tangga gaji musim lalu.

''Kita akui musim ini kita mengalami masalah kewangan, sebab itu kita terpaksa lepaskan Dollah kerana gajinya terlalu tinggi,'' katanya.

''Jika pasukan lain tidak berhasrat mengambilnya untuk musim depan, saya berhasrat untuk mengambilnya semula, itu pun jika kewangan mengizinkan,'' katanya lagi.

Untuk musim depan, skuad Melaka telah diswastakan dan akan dikendalikan oleh Flashtasia Sdn. Bhd., yang antara lain akan menaja perbelanjaan pasukan itu yang dianggarkan sebanyak RM2 juta.

Malah ketika ini, syaikat berkenaan sedang meneliti butiran tunggakan gaji penuh pemain untuk bulan September dan Oktober manakala separuh gaji bulan November dan Disember, yang masih belum dibayar.

Semalam, Sukan Utusan melaporkan, syarikat berkenaan dijangka membayar tunggakan gaji tersebut selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FEDTlKg9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan