ARKIB : 27/02/1998
JOHOR FC walaupun baru dua
minggu dilatih di bawah bekas jurulatih Sabah, Ronald Smith, mampu memberi
cabaran kepada lawan dalam pusingan kelayakan Liga Malaysia yang akan bermula
pada 3 Mac ini, lapor ISHAK SALLEH.
Smith berkata, beliau masih ada
masa untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam skuad itu terutama di bahagian
serangan yang masih kurang mantap.
Katanya, skuad itu mampu
membuat serangan, tetapi tidak dapat membuat penyudah yang membangga dan usaha
melakukan serangan itu akhirnya menjadi sia-sia sahaja.
Beliau berkata, skuad itu
mempunyai kemampuan untuk melakukan sesuatu semasa perlawanan sebenar nanti,
ini dibuktikan dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan.
Pemain import, Hyder Majid dari
Iraq yang baru empat hari bersama skuad itu mampu menunjukkan permainan dan
memberikan persefahaman yang diperlukan.
Smith berkata demikian semasa
ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Johor FC dengan pasukan Nurafson
dari Uzbekistan di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam semalam.
Pada perlawanan itu, Johor FC
menang 3-0, gol-gol telah dijaringkan oleh pemain import dari Iraq, Hyder Majid
menjaringkan pada minit ke-23 dan 38, sementara Armi Shariff pada minit ke-89.
Beliau mengakui laluan bagi
Johor FC, bagaimanapun, matlamat Johor FC adalah untuk bermain dengan
sepenuhnya dan membuktikan pasukan itu mampu memberi cabaran.
Katanya, apa yang perlu
dilakukan oleh pemain ialah untuk memberikan persembahan yang terbaik dan cuba
untuk menjaringkan seberapa banyak jaringan yang termampu.
Selain tugasnya sebagai
jurulatih skuad Johor FC, Smith juga bertanggungjawab sebagai Pengarah
Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Johor.
Mengenai tugas itu, katanya, ia
tidak membebankan kerana sebagai pengarah dia akan memikirkan strategi termasuk
memajukan bola sepak di negeri ini.
Manakala sebagai jurulatih,
katanya, sama seperti jurulatih lain, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya
atas tugas yang dipertanggungjawabkan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FbkthzYX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan