KUALA LUMPUR: Pemain import, Paulo Rangel muncul wira apabila menjaringkan empat gol, sekali gus menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) II menewaskan UiTM FC 4-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, hari ini. Pemain berasal dari Brazil itu bertindak cemerlang selepas menjaringkan kesemua gol pada separuh masa kedua bermula dengan sepakan penalti pada minit ke-61 selepas beliau dikasari pemain UiTM FC dalam kotak penalti. Penyerang JDT II itu menambah jaringan selang empat minit kemudian dan seterusnya mengesahkan kemenangan selesa pasukan pada minit ke-82 dan 93. UiTM FC meraih gol tunggal menerusi Moustapha Moctar Belibi pada minit ke-63.
Pasukan JDT II kekal di kedudukan kedua liga dengan 34 mata di belakang Melaka United yang mendahului dengan 39 mata. Di Stadium Hang Jebat, Melaka United mengekalkan rentak kemenangan dengan menundukkan Perlis 3-1 menerusi jaringan Labinot Harbuzi pada minit ke-18, Ilija Spasojevic (minit ke-40) dan Yashir Pinto (minit ke-52), manakala gol tunggal Perlis dijaringkan Mohd Alafi Mahmud pada minit ke-16.
Mengekori rapat JDT II adalah PKNS FC di kedudukan ketiga dengan 33 mata, hasil jaringan hatrik Juan Manuel Cobeli pada minit ke-45, 54 dan 90 bagi membolehkan pasukan itu menewaskan Kuantan FA 3-2. Kuantan FA meraih gol melalui Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-77 dan 82 di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Kuala Lumpur pula di kedudukan keempat dengan 29 mata, apabila sekadar seri 3-3 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi jaringan Mohd Rashid Mohd Aya pada minit ke-24 dan Jonathan Zorilla minit ke-58 dan 86. Gol ATM dijaringkan Khasan Abdukarimov pada minit pertama, Veniec Elphi Danny Kaya (minit ke-36) dan Muhd Faiz Ibrahim (minit ke-62) dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang.
Negeri Sembilan kekal di kedudukan kelima dengan 27 mata apabila terikat tanpa jaringan menentang tuan rumah, Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Pasukan DRB-Hicom pula kekal di tempat keenam dengan 22 mata selepas menewaskan Sime Darby FC 2-0 menerusi jaringan Ivan Babic pada minit kedua dan 61 di Stadium Proton Tanjung Malim, Perak. - BERNAMA
SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179387
Tiada ulasan:
Catat Ulasan