Khamis, 17 Disember 2015

KAFA teruskan rundingan dengan Syahrul Azwari

17 Disember 2015 1:10 AM
 Syahrul Azwari Ibrahim
Syahrul Azwari Ibrahim
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengakui masih berunding dengan bekas pemain Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim untuk memuktamad­kan terma kontrak dalam usaha memperkemaskan pasukan bagi menghadapi musim 2016.
Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Noor berkata, proses run­dingan masih berjalan biarpun pemain itu sah milik Kelantan berdasarkan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setiap pemain Harimau Muda perlu kembali kepada pasukan asal masing-masing sebaik sahaja kontrak mereka bersama skuad muda kebangsaan berakhir.
“Kami sememangnya ada mengemukakan tawaran berhubung soal gaji dan terma-terma lain untuk kontrak ini, namun dia masih belum membuat keputusan dan meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.
“Jadi kami bersetuju untuk memberikan dia masa sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima tawaran KAFA atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebuah portal berita sukan kelmarin melaporkan, Syahrul Azwari dikhabarkan akan berhijrah ke Sarawak untuk saingan musim hadapan.
Mengulas mengenai berita itu, Ismail memberitahu dia tidak tahu mengenai hasrat Sarawak untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan.
Katanya, jika Sarawak berminat mendapatkan khidmat pemain di bahagian serangan itu mereka boleh berbincang dengan KAFA untuk urusan selanjutnya.
Sementara itu, Syahrul Azwari ketika dihubungi mengesahkan KAFA sememangnya berminat untuk mendapatkannya khidmatnya musim hadapan.
Katanya, bagaimanapun dia masih memerlukan masa sebelum membuat keputusan mengenai perjalanan keriernya itu.
“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan KAFA mengenai tawaran yang diberikan. Namun pada masa yang sama, saya mendapat tawaran daripada Sarawak. Bagaimanapun keputusan masih belum dibuat,” ujarnya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kafa-teruskan-rundingan-dengan-syahrul-azwari-1.169724#sthash.E0f9ewOJ.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan