Kuantan: Selain jurulatih Zainal Abidin Hassan yang akan meninggalkan Pahang musim depan turut akan mengangkat kaki sekurang-kurangnya tujuh pemain utama Tok Gajah musim ini.
Peluang mengekalkan tiga pemain import juga turut dilihat samar apabila dikatakan tertarik dengan tawaran lumayan beberapa pasukan yang begitu berminat dengan kelibat mereka.
Jika perpindahan pemain secara beramai-ramai menjadi kenyataan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) hampir pasti akan berdepan episod kejatuhan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Tanpa kelibat pemain berpengalaman yang sebelum ini menjadi tulang belakang Tok Gajah, imej selaku pasukan disegani yang pernah mendakap Piala Malaysia, Piala Liga, Piala FA dan Piala Sumbangsih sebelum ini pasti tercalar.
Faktor tawaran lumayan beberapa pasukan selain sumber kewangan PBNP semakin menyusut menjadi faktor kepada penghijrahan secara beramai-ramai pemain Tok Gajah.
Pemain yang disenaraikan untuk meninggalkan Pahang kini difahamkan sedang mengadakan perbincangan terakhir dengan pasukan baru sebelum keputusan muktamad dibuat minggu ini selepas PBNP memutuskan masa depan mereka.
Kegagalan mendakap sebarang piala musim menjadi penyebab PBNP tidak mampu menahan keinginan pemain utama mereka berhijrah mencari haluan baru musim depan.
Difahamkan, Tok Gajah kini hanya mampu menawarkan kontrak kepada pemain muda untuk membawa cabaran musim depan, pendekatan berkenaan dilihat lebih selamat dalam keadaan sumber kewangan mereka yang begitu terbatas.
Sebagai contoh untuk memiliki pemain import seperti Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart yang menerima gaji puluhan ribu ringgit sebulan memaksa PBNP menyediakan bajet besar setiap musim.
Imej pemain kebangsaan yang ada pada Razman Roslan, Azamuddin Akil, R Gopinathan, Hafiz Kamal dan Khairul Azhan Khalid turut menuntut mereka menerima gaji yang tidak kurang tingginya.
Difahamkan, Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah akan mengadakan pertemuan dengan pemain Tok Gajah bagi menerangkan kedudukan mereka musim depan, esok.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:42 AM
ZAINAL (kiri) tinggalkan Pahang.
- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/100197#sthash.OhmGi6fD.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan