Ahad, 27 Disember 2015

Tok Gajah berteka-teki

  Oleh Asrol Awang-sukan@hmetro.com.my
 
Kuantan: “Tunggu dan lihat,” itu reaksi balas ketua jurulatih baru Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi berhubung barisan pemain yang akan menyarung jersi skuad itu musim depan.


Shaharuddin berkata, semuanya masih lagi dalam perbincangan walaupun semua pihak, khususnya peminat setia Tok Gajah menantikan senarai pemain yang dikatakan akan dibarisi muka baru.

Setakat ini, tiada kata putus senarai pemain yang akan membawa cabaran besar Pahang selepas berlaku penghijrahan beberapa pemain utama yang mahu berubah angin bersama pasukan lain.

“Apa yang boleh saya katakan ketika ini kami (pengurusan) masih lagi dalam perbincangan untuk menyenaraikan pemain yang akan memperkuatkan jentera skuad Tok Gajah musim depan.

“Saya harap peminat bersabar menantikan pengesahan rasmi yang akan diumumkan selewat-lewatnya awal Januari ini, memandangkan Pahang perlu menjalani latihan lebih awal untuk membentuk pasukan mantap.

“Saya harap barisan pemain yang diumumkan nanti akan memberikan komitmen penuh terhadap pasukan terutama dalam usaha memastikan kejayaan bermakna pada musim 2016,” katanya semalam.

Difahamkan, bukan sekadar lima pemain utama berhijrah malah hampir separuh pemain musim ini membuat keputusan meninggalkan Pahang selepas kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Namun, beberapa pemain senior skuad itu tetap menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) antaranya Saiful Nizam Miswan, Shahrizan Salleh, Nasril Nourdin dan Fauzi Rozlan.

Setakat ini, pemain yang sah meninggalkan Pahang adalah Razman Roslan, Azamuddin Akil, R Gopinathan, Khairul Azhan Khalid dan Hafiz Kamal.

Justeru, Shaharuddin yang menggantikan Zainal Abidin Hassan mahu barisan terbaik dapat dibentuk dalam usaha memberikan tentangan sengit kepada pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:11 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/102992#sthash.BUqHwUv4.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan