Rabu, 30 Disember 2015

Tok Gajah masih tagih khidmat Nwakaeme

Oleh Mohd Rafi Mamat-sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kini begitu memerlukan khidmat bekas pemain import mereka Dickson Nwakaem (jersi kuning) dalam usaha memperkuatkan pasukan Tok Gajah musim depan.
Perbincangan dengan pemain kelahiran Nigeria itu kini masih dilakukan dengan pihak pengurusan pasukan Pantai Timur itu, terutama membabitkan gaji dan beberapa insentif lain.
Menurut sumber, tarik tali antara PBNP dengan awang import itu berlaku selepas Nwakaeme turut mendapat tawaran yang turut dianggap menarik daripada beberapa pasukan lain.
Katanya, selepas mempamerkan persembahan baik sepanjang dua musim bersama Pahang, ternyata khidmatnya amat diperlukan terutama selepas beberapa pemain utama berpindah.
“Selepas tidak menyambung kontrak dua lagi pemain import Matias Conti dan Damion Stewart, kami perlu mencari pengganti atau mengekalkan Nwakaeme untuk mengemudi jentera serangan.
“Bagaimanapun, sebelum keputusan dibuat, perbincangan dengan pengurusan PBNP perlu dilakukan dengan sebaik mungkin bagi mengelak sebarang masalah,” katanya di sini, semalam.
Imej Tok Gajah selaku bekas juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim 2014 sedikit tercalar apabila dikatakan tidak lagi mampu memberi saingan kepada pasukan bertaraf bintang seperti Selangor dan Johor Darul Ta’zim.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 7:37 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/103463#sthash.F6HfCgEk.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan