Khamis, 17 Disember 2015

4 tonggak Selangor kekal tabur bakti

KHAMIS, 17 DISEMBER 2015 @ 7:00 AM

Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan
 
EMPAT tonggak pertahanan Selangor, Shahrom Kalam (dari atas kiri), Rizal Fahmi Rosid, Azrif Nasrulhaq dan Raimi Md Nor. KUALA LUMPUR: Juara Piala Malaysia, Selangor mendapat suntikan motivasi bagi menghadapi saingan musim depan selepas empat tonggak pertahanan mereka hampir pasti kekal menyarung jersi Merah Kuning.

Mereka adalah kapten pasukan, Shahrom Kalam bersama pertahanan tengah, Rizal Fahmi Rosid; pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq dan pertahanan kiri, Raimi Md Nor. Sumber memberitahu Sukan BH, keempat-empat pemain ini juga sudah bersetuju dengan lanjutan kontrak yang ditawarkan kepada mereka.

"Mereka menunjukkan kesungguhan ketika beraksi di atas padang dan menjadi tonggak penting untuk pasukan bagi menghadapi saingan musim hadapan. "Jadi, mereka berada dalam perancangan kami untuk memperkukuh barisan pertahanan bagi memantapkan lagi persefahaman, memandangkan kami bakal bersaing dalam kejohanan domestik dan Piala AFC musim hadapan," katanya.

Trio pertahanan The Red Giants ini - Shahrom, Azrif dan Raimi - membuktikan status selaku pertahanan terbaik dalam saingan Piala Malaysia lalu apabila aksi kental mereka menyaksikan Selangor sekadar bolos sembilan gol pada kempen lain. Malah, mereka turut membantu Selangor merangkul gelaran naib juara Liga Super musim ini selain mencatat rekod bolos ketiga paling sedikit dalam kempen liga dengan 29 gol.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/105756

Tiada ulasan:

Catat Ulasan