WARTAWAN SINAR | | 26 September 2020
Barisan pemain Pahang meraikan jaringan Reed pada aksi di Stadium Darul Makmur sebentar tadi. - Foto FA Pahang
PAHANG mengetepikan seketika isu di luar padang apabila berjaya merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Kedah pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.
Bagaimanapun, Kedah terlebih dahulu mengejutkan skuad Toh Gajah apabila penyerang import berbisa, Tchetche Kipre berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-16.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Pahang kembali mengatur gerakan ke kubu Lang Merah bagi memburu gol penyamaan. Menerusi satu serangan balas, Pahang memperoleh gol penyamaan hasil jaringan Adam Reed pada minit ke-40.
Sebaik babak kedua bermula, Pahang mengejutkan Kedah apabila pemain muda, Nik Sharif Hasefy Mohd Lazim meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-46.
Kedua-dua pasukan terus bersemangat melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing, namun tiada gol tambahan terhasil sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu, Selangor bernasib baik apabila berjaya membawa pulang satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 3-3 dengan UiTM FC pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.
Biarpun pada suatu ketika selesa mendahului dengan kelebihan dua gol, skuad Gergasi Merah itu yang kali pertama mendapat bimbingan Michael Feichtenbeiner akhirnya terpaksa berkongsi mata dengan UiTM FC.
Penyerang import berbisa, Ifedayo Omosuyi terlebih dulu meletakkan Selangor di depan pada minit ke-24 sebelum pemain tengah, Sandro da Silva menyumbat gol kedua pada penghujung babak pertama.
Bagaimanapun, UiTM FC bangkit dengan tiga gol menerusi jaringan penyerang import, Gustavo dos Santos yang menyumbat dua gol masing-masing pada minit ke-48 dan 58 serta Rabih Ataya (62).
Ketika UiTM FC hampir meraikan kejayaan mengutip tiga mata berharga, Selangor dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Ifedayo pada masa kecederaan.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/102785/BERITA/Sukan/Tok-Gajah-benam-Kedah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan