MyMetroArena
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
"Saya perlu profesional," Demikian reaksi penyerang sensasi Johor Darul Ta`zim (JDT), Safawi Rasid ketika ditanya perasaannya selepas jaringan tunggalnya memusnahkan impian pasukan negeri kelahirannya, Terengganu FC (TFC) untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri dalam aksi ketujuh Liga Super.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, Jumaat lalu, Safawi yang juga antara penyerang terbaik kebangsaan ketika ini meledak gol kemenangan pasukannya 1-0 pada minit kelima selepas kesilapan komunikasi antara pertahanan TFC dengan penjaga gol.Pemain berusia 23 tahun berasal dari Dungun itu berkata, kerjasama daripada rakan sepasukan yang sentiasa memberi dorongan semangat adalah antara faktor dia mampu beraksi dengan baik setiap kali disenaraikan dalam kesebelasan utama."Dalam mana-mana sukan kita perlu profesional iaitu kita beraksi dengan bersungguh-sungguh dengan pasukan yang kita wakili walaupun saya berasal dari negeri Terengganu.
"Sekarang saya bekerja dengan JDT, jadi saya perlu profesional, tapi kemenangan itu turut dibantu rakan sepasukan sekali gus mendapat tiga mata bagi menjarakkan lagi kedudukan dengan pasukan di tangga kedua liga, " katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pasukan TFC dibimbing Nafuzi Zain terpaksa akur kekalahan itu walaupun beraksi dengan baik.Berdasarkan kedudukan terkini, juara Liga Super enam kali berturut-turut itu kini terus gah mendahului liga dengan mengumpul 19 mata, manakala Terengganu di kedudukan kelima dengan 10 mata.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 9:26 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan