MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
UiTM FC meneruskan kejutan dalam saingan Liga Super musim ini apabila sekali lagi mengejutkan pasukan gergasi dengan kali ini menewaskan Terengganu FC 2-1 di Stadium Mini UiTM Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, skuad kendalian Frank Bernhardt turut melakar kejutan dengan menewaskan Pahang 1-0 di halaman sendiri pada 5 September lalu sebelum hanya tewas tipis 0-1 di tangan Perak minggu lalu.
Kemenangan keempat daripada lapan aksi liga meletakkan UiTM dikedudukan selamat kekal di Liga Super musim depan manakala Terengganu FC terus kempunan untuk memperbaiki kedudukan di pertengahan liga.
Tuan rumah bermula garang apabila pemain tengah, Arif Anuar mudah menolak masuk untuk gol pertama pada minit keempat selepas memanfaatkan lantunan bola hasil percubaan deras rakan sepasukan, Mark Hartmann yang ditepis Sharmiza Yusoff.
Gol itu menyuntik semangat anak buah Bernhardt yang semakin garang memburu gol tambahan.
Bagaimanapun, skuad Penyu yang tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu enggan skrip sama berulang apabila bangkit memperkemaskan aksi.
Hasilnya pada minit ke-38, pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Sanjar Shaakhmedov dibentas dalam kotak penalti dan ketua pasukan, Lee Tuck tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Bersambung babak kedua, Bernhardt yang pernah membimbing skuad Bawah 22 tahun negara mengubah sedikit taktikal dan hasilnya skuad The Lion Troops kembali mendahului perlawanan.
Gol kedua itu berpunca daripada asakan bertali arus yang menyaksikan hantaran Hartmann tepat menemui Victor Nirennold yang melepaskan satu sepakan voli menarik pada minit ke-60 yang gagal dihalang Sharmiza.
Walaupun pelawat cuba bangkit memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan UiTM FC mengecewakan jentera serangan pelawat untuk menyaksikan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 11:15 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan