Ahad, 13 September 2020

Sumareh mula buka mulut

MyMetroArena

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

SELEPAS hampir sebulan membisu, tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh akhirnya membuka mulut berkaitan isunya bersama bekas majikan, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) demi membersihkan nama yang kini dianggap sebagai lupa daratan.

Pemain berasal dari Gambia itu berkata, keputusannya hanya berdiam diri dan membiarkan PBNP 'menyerang' bukanlah disebabkan dia bersalah, namun tidak mahu lebih banyak perkara buruk atau negatif terbongkar.

Sumareh berkata, isu berkaitan tunggakan gaji bukanlah berlaku ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini, namun hakikatnya sudah berlarutan tiga tahun sekali gus mengambil keputusan meninggalkan pasukan Tok Gajah.

Katanya, hajat PBNP yang mahu mengambil tindakan undang-undang seterusnya menyekat pemergiannya ke kelab Thailand, Police Tero FC diterima dengan hati terbuka.

Malah, dia bersedia bersemuka dengan PBNP jika perkara terbabit dibawa ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

''Ramai mengatakan masalah berlaku sejak Covid-19, namun apa yang mahu saya katakan adalah kerana tunggakan gaji sejak tiga tahun lalu. Kenapa saya mahu terus bermain untuk pasukan yang melanggar perjanjian kontrak.

''Jika saya menipu, saya mahu seseorang daripada PBNP katakan begitu pada saya. Sekarang ini saya tidak boleh mendedahkan segalanya. Ada perkara boleh kita ceritakan, namun lebih baik saya berdiam diri walaupun mengetahui kini menjadi cemuhan penyokong.

''Apa yang ingin diberitahu, saya tidak pernah melupakan pasukan yang membantu menaikkan diri ini, namun terjadinya situasi ini bukanlah kehendak saya,'' katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Akhbar ini hari ini melaporkan PBNP mahu mengambil tindakan undang-undang selepas pemain itu secara rasmi menyarung jersi Police Tero FC.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, persatuan itu melantik peguam dalam urusan perundangan berkaitan kontrak Sumareh dan PBNP.

Baru-baru ini, Sumareh mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang sejak sebulan lalu.

Difahamkan, dia bertindak demikian kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP sekali gus kontrak bersama Tok Gajah terbatal dengan mengaktifkan klausa 8.7.

Selain itu, Sumareh turut menyatakan sudah menghantar surat kepada pengurusan untuk mendapatkan penjelasan berkaitan tunggakan gaji, namun sehingga kini PBNP pula mengambil sikap berdiam diri.

''Saya hantar surat menerusi emel, hantar juga ke pejabat PBNP malah turut menggunakan khidmat pos bagi memastikan dokumen berkaitan sampai ke individu yang sepatutnya.

''Ada yang kata kenapa tidak berbincang dengan presiden (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah), namun saya tidak mahu melangkau pengurus dan juga beberapa pihak lain kerana lebih baik berbincang dulu dengan mereka namun lain pula yang terjadi,'' katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 10:15 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan