Sabtu, 26 September 2020

Hajat JDT tertangguh

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Selepas melakar dua kemenangan besar sebelum ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir menerima kekalahan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila diikat Petaling Jaya City (PJ City) 2-2.

JDT yang bergaya membelasah Perak 7-0 dan 6-1 ke atas Selangor, gagal meneruskan rentak itu apabila PJ City memberi tentangan hebat sepanjang 90 minit aksi di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Malah, keputusan seri itu turut menangguhkan seketika hasrat skuad Harimau Selatan bagi dinobatkan juara liga lebih awal di mana pasukan di tangga kedua, Kedah mampu merapatkan jurang kepada empat mata sekiranya berjaya meraih kemenangan menentang Pahang malam esok.

Pelawat yang memburu kejuaraan liga ketujuh berturut-turut terlebih dulu di depan menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-35 selepas menerima hantaran Diogo untuk tenang menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan oleh tuan rumah dua minit kemudian hasil sentuhan bekas pemain kebangsaan, Christie Jayaseelan yang menolak mudah ke gawang JDT untuk mengikat kedudukan 1-1.

Skuad kendalian K Devan yang pernah meleburkan rekod bersih JDT dalam saingan Liga Super musim lalu seakan mengulangi skrip sama apabila berjaya mendahului lawan pada masa kecederaan.

Ia susulan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin selepas Washington dos Santos dijatuhkan oleh penjaga gol JDT, Farizal Marlias sekaligus diberikan layangan kad kuning.

Ketua pasukan PJ City, K Gurusamy mudah menyempurnakan tugasnya namun semangat melawan anak buah Benjamin Mora cukup tinggi apabila mereka pantas mengikat kembali 2-2, juga hasil sepakan penalti Gonzalo Cabrera di masa kecederaan.

Aksi pantas terus disajikan pada separuh masa kedua dengan JDT memiliki sekurang-kurangnya dua peluang keemasan namun dihalang Kalamullah di gawang gol.

Keputusan seri bagaimanapun kekal hingga tamat aksi dan JDT perlu menunggu aksi berikutnya bertemu Sabah Jumaat depan di Stadium Sultan Ibrahim untuk mengesahkan kejuaraan.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:04 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan