Oleh ASZAHARI ALI
26 September 2020, 11:41 pm
KUANTAN: Pahang menyukarkan misi Kedah untuk memburu gelaran naib juara Liga Super selepas menundukkan Lang Merah 2-1 di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Kemenangan itu membakar semangat Tok Gajah untuk menghadapi baki dua saingan liga kerana berjaya menewaskan antara pasukan paling konsisten musim ini.
Anak-anak buah Dollah Salleh kini melonjak ke tangga keenam liga dengan 13 mata daripada sembilan perlawanan, manakala Kedah kekal di tempat ketiga di belakang Johor Darul Ta’zim dan Perak.
Dalam aksi berkenaan, Kedah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Tcetche Kipre pada minit ke-15 selepas berlaku salah faham antara penjaga gol dan pertahanan tuan rumah.
Namun minit ke-40, Adam Red berjaya menewaskan penjaga gol Lang Merah, Mohd. Sharul Saari untuk Pahang mendapatkan gol penyamaan tuan rumah.
Bermula babak kedua, Pahang tidak menunggu lama apabila seawal minit pertama perlawanan bermula, Nik Muhammad Sharif berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol Tok Gajah.
Tersentak dengan jaringan itu, Kedah menggandakan asakan dan peluang terbaik muncul pada minit ke-79 apabila dihadiahkan sepakan percuma yang diambil Badrol Bahtiar tetapi berjaya didakap kemas penjagol Pahang, Helmi Eliza.
Untuk mengimbangi serangan bertali arus pelawat, Dickson Nwakamae ahkhirnya membuat kemunculan semula selepas berehat lama mengantikan Ivan Carlos.
Tamat perlawanan, Pahang menggagalkan hasrat Kedah untuk terus mencacatkan kemenangan sekali gus tiga mata berharga buat Tok Gajah.
Pahang akan menerima kunjungan Perak di Sabtu depan sebelum menutup kempen dengan bertandang ke Terengganu pada 10 Oktober.SUMBER-UM ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan