Isnin, 28 September 2020

Dollah puji kebangkitan Tok Gajah

Oleh Asrol Awang - September 27, 2020 @ 3:32pm

bhsukan@bh.com.my



Nik Muhammad Sharif melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol ketika menentang Kedah, malam tadi.

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji kebangkitan anak buahnya selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Tiga mata yang diraih itu juga meletakkan kedudukan skuad Tok Gajah lebih selesa terutama mengelak berada dI zon penyingkiran dalam saingan Liga Super musim ini.

"Tahniah kepada semua pemain kerana memberikan yang terbaik untuk kembali mencatat kemenangan selepas seri 2-2 berdepan Felda United FC minggu lalu.

"Kami sebenarnya menguasai permainan pada separuh masa pertama tetapi satu kesilapan dan serangan balas yang dilakukan lawan, mereka dapat menjaringkan gol pendahuluan.

"Tetapi saya bangga dengan pemain kerana tidak berputus asa dan meneruskan permainan dengan baik yang menyaksikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama," katanya.

Pada aksi malam tadi, Pahang ketinggalan menerusi gol Tchetche Kipre pada minit ke-15 sebelum bangkit dengan dua gol masing-masing dijaringkan Adam Reed (m40) dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (m46).

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak akur skuad itu gagal menyekat Pahang daripada melakar kemenangan sekali gus melebur rekod lima kemenangan berturut-turut Lang Merah.

Namun, katanya, kekalahan itu tidak mengejutkan kerana sudah menjangkakan tentangan sengit tuan rumah.

"Bagaimanapun, saya tetap memuji persembahan yang dipersembahkan pemain walaupun gagal melakar kemenangan atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.

"Tumpuan kini mengutip mata apabila bertemu Melaka dan Perak," kata jurulatih dari Singapura itu.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan