Isnin, 28 September 2020

Melaka kena kuarantin?

Oleh Zulfaizan Mansor - September 28, 2020 @ 6:16pm

zulfaizan@bh.com.my



Aksi antara Melaka menentang Sabah di Stadium Likas, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Pasukan Melaka mungkin berdepan masalah kekangan masa untuk melakukan persiapan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Ia kerana, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua individu yang baru tiba dari Sabah perlu mengikuti beberapa SOP termasuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Melaka yang dijangka pulang hari ini selepas berkunjung ke Sabah untuk mengharungi perlawanan kesembilan Liga Super yang menyaksikan mereka tewas 2-3 dalam aksi di Stadium Likas, malam tadi.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Mohd Ashiq Abd Samad menjelaskan pihaknya perlu mengikuti semua SOP yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

"Saya tak ke Sabah dan saya pun tak dapat berhubung lagi dengan mereka (pasukan), cuma yang saya dengar memang kita ikut SOP yang ditetapkan KKM termasuk buat ujian saringan dan kuarantin di rumah.

"Kita terpaksa ikut sebab ia bukan saja membabitkan keselamatan pasukan, malah semua pihak.

"Rasa macam singkat juga masa (untuk jumpa Kedah) sebab (kalau kena kuarantin) nak berlatih pun tak boleh. Jadi kita tunggu mereka balik dan kita akan bincang dengan jurulatih Zainal Abidin Hassan," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini, semua individu yang baru tiba dari Sabah perlu menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan COVID-19 sejurus tiba di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa).

Mereka juga perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dengan semua individu di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin.

Tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) sehingga keputusan makmal diperoleh. Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19;

Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu berkenaan perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19..SUMBER-SUKAN BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan