Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Meskipun jentera serangan bagi pasukan Liga Malaysia (Liga M) dikuasai pemain import, pemain tempatan tetap membuktikan mereka turut memiliki 'bisa' tersendiri.
Dua pemain tempatan iaitu penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi yang beraksi bersama Perak dan Danial Asri (Selangor II) berjaya memperagakan ketajaman masing masing dengan jumlah gol yang diledak setakat ini.
Mereka muncul sebagai antara pemain tempatan paling menyerlah musim ini apabila masing masing menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana.
Perkembangan ini jelas menunjukkan pemain tempatan juga mampu bersaing dengan 'awang import' sekiranya tidak diketepikan dan diberi peluang mengemudi jentera serangan sekali gus turut memberi petanda positif kepada skuad kebangsaan.
Sebagai rekod, saingan Liga Super menyaksikan penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique da Sylva mengungguli carta penjaring terbanyak selepas tujuh perlawanan apabila meledak tujuh gol setakat ini.
Mengekori rapat adalah penyerang Kedah, Tchetche Kipre dan juga penggempur Selangor, Ifedayo Olusegun selepas dua pemain itu masing masing menyumbang lima gol untuk membantu pasukan masing masing.
Gonzalo Cabrera (JDT), Kpah Sherman (Kedah), Sanjar Shaakhmedov (TFC), Uche Agba (Melaka) dan Ivan Carlos (Pahang) pula terikat dengan empat jaringan.
Saingan Liga Perdana pula di ungguli penyerang Pulau Pinang, Casagrande yang juga meledak tujuh gol, diikuti Francis Kone (Kuala Lumpur) dan Endrick Dos Santos (Pulau Pinang) dengan enam gol.
Selain Danial, tiga lagi pemain menyumbat empat gol dalam saingan Liga Perdana ketika ini iaitu Felix Odili (Kelantan) Patrick Ronaldinho Wleh (Sarawak United) dan Paulo Josue (Kuala Lumpur)..SUMBER-SUKAN BH ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan