TRW sasar kekal Liga M, daftar 31 pemain
Oleh Hasbullah Ibrahim - Januari 20, 2017 @ 3:30pm
bhsukan@bh.com.my
BARISAN pemain The Red Warriors (TRW) memperagakan jersi baharu pasukan bola sepak Kelantan 2017 di Majlis Pengenalan Konsortium Penaja Al-Hamra dan Pelancaran Jersi TRW 2017 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) Kota Bharu. Foto NSTP Syamsi Suhaimi
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), hari ini memperkenalkan barisan pemain skuad The Red Warriors (TRW), termasuk empat pemain import untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Selain mengekalkan seorang import musim lalu, Margano Gomis dari Senegal, tiga pemain import baharu adalah pertahanan, Mamadou Danso, 33, dari Gambia serta dua penyerang iaitu Alessandro Padovani Celin, 27, dari Brazil dan Mohammed Mahmoud Ghaddar, 33, dari Lubnan.
Pemain tempatan terdiri daripada 30 peratus muka lama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Mohamad dan Mohd Farisham Ismail.
Muka baharu pula adalah Mohammad Ab Aziz Ismail, S Subramaniam, S Thinagaran (ATM), Hattaphon Bun An dan beberapa pemain skuad Piala Presiden 2016.
Majlis di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) yang turut dimeriahkan dengan pelancaran jersi baharu TRW disempurnakan oleh Penasihat KAFA, yang juga bekas Presidennya, Tan Sri Annuar Musa.
Yang turut hadir, Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah; Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail; Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, barisan Exco dan penaja rasmi musim ini.
Penaja utama pasukan Kelantan ialah Kumpulan Konsortium Al Hamra, RedONE Malaysia dan Chengal Jati.
Annuar berkata, TRW menyasarkan terus kekal beraksi dalam saingan Liga M dan berada di kedudukan 10 terbaik carta liga Super musim ini.
"Saya juga bakal menjadikan TRW pasukan terkuat bermula tahun ini dengan mengumumkan 2018 sebagai tahun bola sepak Kelantan.
"Malah, TRW pasukan yang berbelanja paling kecil pada tahun ini berbanding pasukan lain dengan mendaftarkan 31 pemain. Ini kali pertama dalam sejarah bola sepak negeri ini TRW membayar gaji import paling murah berbanding pemain tempatan," katanya.SUMBER-BH ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan