Oleh Norzie Mohamed Khasbi
13 September 2020, 10:43 pm
KUANTAN: Lega dan membanggakan. Itu ungkapan pengendali Pahang, Dollah Salleh selepas anak buahnya berjaya menewaskan PDRM dalam saingan Liga Malaysia di Stadium Darul Makmur semalam.
Bekas pemain kebangsaan itu sudah pasti lega kerana matlamat memungut tiga mata berharga dapat dicapai selepas dua kali kecewa pada aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan UiTM.
Dollah turut berbangga kerana moral anak buahnya seakan pulih dengan kemenangan itu dan lebih bererti beliau kini sudah boleh meletakkan sandaran kepada pemain muda yang dilihat semakin berkeyakinan di atas padang.
“Saya puas hati dengan persembahan ditunjukkan kesebelasan pemain Pahang yang merupakan satu suntikan semangat untuk kami bangkit semula,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir malam semalam.
Pahang berjaya menewaskan PDRM hasil jaringan Ivan Carlos melalui sepakan percuma sebelum penyerang muda, Mohamad Faizal Abdul Halim menambah jaringan tuan rumah sementara gol saguhati PDRM melalui Adam Micheal.
Mengulas kecederaan ‘orang besi’, Dickson Nwajamae, Dollah yakin tempoh rehat selama seminggu dapat membantu pemain itu pulih dari kecederaan dan kembali beraksi selepas ini.
Dalam pada itu, jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad yakin pasukan bimbingannya masih berpeluang untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Baginya tiada yang mustahil walaupun sebelah kaki seakan sudah berada di Liga Perdana selepas mencatat kekalahan kali kelima selain hanya dua keputusan seri sebelum ini sekali gus kekal di tangga tercorot Liga Malaysia.
Biarpun PDRM bakal berdepan pasukan seperti Selangor, Perak, PJ City dan Terengganu selepas ini, namun ia tidak menggusarkan Mohamad Ishak.“Aksi menentang Pahang, anak buah saya dilihat tidak beraksi seperti kami menentang Felda dan JDT, mental mereka jatuh dan saya tidak gembira dengan persembahan mereka,” katanya.SUMBER-SUKAN UM ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan