Sabtu, 19 September 2020

Tindakan segera selesai hutang lapuk langkah terpuji

 SUKAN

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 20 September 2020



Mohd Hashim Mustapa
LEGENDA bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapa menyifatkan tindakan segera pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman menyelesaikan hutang lapuk yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai langkah terpuji.
Menurutnya, tindakan Norizam itu menunjukkan kesungguhannya untuk memastikan badan induk bola sepak negeri itu tidak terus dipalit dengan beban hutang, sekali gus memberikan sinar baharu kepada The Red Warriors (TRW).
“Apa yang dilakukan oleh Norizam itu membuktikan komitmen beliau dan ini tindakan yang harus dipuji selepas Kelantan sekian lama dilanda masalah hutang dan gaji pemain.
“Saya harap langkah positif itu dapat diteruskan dan selepas ini tidak timbul lagi masalah gaji yang membelenggu pasukan dan dalam masa sama, Kelantan akan dapat kembali menjadi gergasi bola sepak di Malaysia.
“Gaji tertunggak pemain musim ini juga sudah dibayar, jadi tiada alasan untuk pasukan kalah dalam baki perlawanan saingan liga. Ia akan menjadi cabaran buat pemain memberikan aksi terbaik,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Terdahulu, Norizam mengotakan janji menyelesaikan hutang lapuk KAFA apabila mengeluarkan belanja berjumlah RM3.6 juta melibatkan bayaran hutang kepada 15 bekas pemain dan pegawai bermula musim 2017, 2018 dan 2019.
Norizam atau lebih terkenal dengan panggilan Zamburger turut melunaskan bayaran tunggakan gaji antara lima hingga enam bulan membabitkan barisan pemain yang menggalas cabaran bersama TRW musim ini.
Hashim yang pernah melatih skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2019 turut menerima bayaran tunggakan gajinya berjumlah RM20,000.
“Alhamdulillah, hutang saya sudah pun dibayar dan saya menghargai usaha Norizam. Kalau boleh dan jika ada rezeki saya nak bertentang mata dengan beliau mengucapkan terima kasih,” ujarnya.
Antara bekas pemain yang terlibat ialah Khairul Fahmi Che Mat, Brendan Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L. Imam, Mohd Farish Shah Rosli, Mohd Badhri Radzi, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Nor Farhan Mohamad.
Barisan pegawai pula melibatkan Sathit Bensoh (bekas jurulatih TRW), Mohd Hisham Jainuddin (bekas jurulatih penjaga gol TRW) selain Mohd Hashim dan pengendali Kelantan, Yusri Che LahArtikel Penuh SUMBER:https://www.sinarharian.com.my/article/101829/BERITA/Sukan/Tindakan-segera-selesai-hutang-lapuk-langkah-terpuji© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Tiada ulasan:

Catat Ulasan