Sabtu, 26 September 2020

PJ City, JDT sama handal

Oleh Zulfaizan Mansor - September 25, 2020 @ 11:11pm

zulfaizan@bh.com.my



Penyerang JDT, Diogo Luis Santo cuba dihalang pemain PJ City pada aksi Liga Super.

KUALA LUMPUR: PJ City meranapkan impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk meraih kemenangan kelima berturut-turut selepas kedua-kedua pasukan itu terikat 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

JDT yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut memenangi semua empat perlawanan sejak Liga Malaysia (Liga M) bersambung semula pada hujung bulan lalu termasuk meraih kemenangan besar ke atas Perak dan Selangor.

Keputusan itu bagaimanapun langsung tidak menjejaskan kedudukan skuad Benjamin Mora yang kini di ambang merangkul gelaran juara buat kali ketujuh dan perlu menunggu keputusan perlawanan antara Pahang dan Kedah, esok.

JDT yang membelasah Selangor 6-1 minggu lalu terpaksa menunggu minit ke-35 untuk membuka tirai jaringan selepas Safawi Rasid menyudahkan umpanan Diogo Luis Santo.

Kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Christie Jayaseelan bijak menggunakan peluang di depan pintu gol untuk meledak gol penyamaan PJ City.

PJ City berjaya mendahului JDT selepas K Gurusamy menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Namun hanya kira-kira seminit selepas itu kedudukan berubah lagi apabila giliran Gonzalo Cabrera pula menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan buat JDT.

Tiada jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan pada babak kedua yang menyaksikan kedudukan 2-2 kekal hingga tamat permainan.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan