Isnin, 28 September 2020

Sabah kejutkan Melaka

Oleh Syafiq Aznan - September 27, 2020 @ 10:24pm

syafiq.aznan@bh.com.my



Aksi antara pemain Melaka dan Sabah pada perlawanan Liga Super.

KUALA LUMPUR: Melaka mensia-siakan peluang untuk melonjak ke kelompok empat pasukan terbaik selepas dikejutkan Sabah 3-2 pada aksi di Stadium Likas, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Zainal Abidin Hassan itu kekal menghuni tangga ketujuh Liga Super dengan 11 mata untuk mengetepikan Selangor menerusi perbezaan jaringan.

Manakala buat Sabah, kemenangan itu pasti memberi kelegaan selepas mereka berjaya keluar daripada zon penyingkiran walaupun masih lagi belum terselamat daripada prospek penyingkiran.

Pada aksi terbabit, pelawat mendahului hanya selepas 15 minit perlawanan selepas penyerang prolifiknya, Uche Agba menyambut hantaran Safiq Rahim sebelum menyudahkan untuk gol pertama Melaka.

Kedudukan 1-0 hanya bertahan sembilan minit selepas Dennis Buschening memastikan Sabah kembali dalam perlawanan apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Sony Norde meledak gol kedua Melaka di penghujung babak pertama untuk membolehkan mereka menamatkan babak pertama dengan keputusan 2-1.

Skrip berbeza ditampilkan Sabah pada babak kedua apabila tampil lebih 'garang' dengan menyumbat dua gol dalam tempoh lapan minit sekali lagi menerusi Buschening pada minit ke-64 disusuli sepakan penalti Rodoljub Paunovic pada minit ke-72.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan