Khamis, 24 September 2020

Tak bermain secara 'parking bas' jumpa JDT

September 24, 2020 @ 9:27pm



Aksi pemain PJ City (depan) ketika menentang Melaka.

KUALA LUMPUR: Petaling Jaya City FC (PJ City FC) tekad mencipta kejutan ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam esok, bagi menghidupkan peluang kekal bersaing dalam liga itu musim depan.

Ketua Jurulatih PJ City FC, K. Devan mengakui hanya keputusan positif ke atas skuad Harimau Selatan mampu mengubah kedudukan skuad 'The Phoenix' yang sekadar meraih satu kemenangan dalam lapan aksi liga sebelum ini.

"Kami tiada pilihan lain perlu dapatkan tiga mata dalam perlawanan ini untuk jauhkan diri daripada zon penyingkiran, dan kami tidak akan turun bermain secara bertahan sahaja walaupun tahu lawan adalah pasukan terbaik dalam liga daripada aspek serangan.

Jika kami memilih untuk bertahan, cara ini tidak akan membantu pasukan sebaliknya kami perlu kurangkan kesilapan ketika lakukan serangan dan semua pemain perlu tanamkan dalam minda untuk bermain secara menyerang," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Selangor dan Negeri Sembilan itu menuntut barisan serangannya untuk mempertingkatkan ketajaman penyudah di depan pintu gol lawan.

Pengendali berusia 59 tahun itu berkata ketiadaan penyerang import dari Guinea, Demba Camara yang masih berada di negaranya bagi menyelesaikan isu peribadi, menjadi antara punca jentera serangan pasukan berkenaan berdepan masalah.

PJ City FC hanya mampu meledak tujuh jaringan, namun dibolosi 11 gol sejak saingan Liga Malaysia bersambung pada 26 Ogos lepas.

"Kami banyak mencipta peluang dalam perlawanan sebelum ini, tetapi pada aspek penyudah, pemain saya agak kurang menjadi dan perkara ini yang saya sedang perbaiki.

"Saya tetap optimis kami masih boleh perbaiki pencapaian di tangga kelapan pada musim lalu dengan cuba dapatkan tujuh atau sembilan mata apabila berdepan JDT, UiTM FC dan PDRM," kata Devan.

Berbaki tiga perlawanan, PJ City FC kini menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan Liga Super menerusi kutipan tujuh mata selepas lapan perlawanan (satu kemenangan, empat keputusan seri dan tiga kekalahan).

JDT yang masih mengungguli carta Liga Super menerusi kutipan 22 mata, bakal dinobatkan selaku juara Liga Super musim ini sekiranya mengatasi PJ City FC pada perlawanan itu. - BERNAMA-SUMBER-BH ONLINE


Tiada ulasan:

Catat Ulasan