MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
"DIA datang merayu hingga menangis air mata darah sekali pun, Pahang tetap akan teruskan tindakan undang-undang kepadanya kerana apa yang dilakukan sekarang ini cukup menjatuhkan maruah pasukan.
Itu antara tindakan nekad pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap tonggak naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh.
Malah, PBNP ketika ini menerusi peguam yang dilantik sudah pun menghantar segala dokumentasi termasuk bukti menerusi surat perjanjian, khidmat pesanan Whatsapp dan perjumpaan bersama pemain itu sebelum ini untuk tindakan susulan.
Menurut sumber PBNP berkata, pihaknya menyerahkan segalanya kepada peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk berkaitan tuntutan kepada Sumareh berikutan tindakan pemain itu yang menghilangkan diri. Beliau berkata, ketika ini PBNP sudah menutup ruang perbincangan bersama pemain terbabit selepas pelbagai tuduhan dilemparkan kepada badan induk bola sepak negeri itu termasuk berkaitan tunggakan gaji.
"Pengurusan PBNP sudah mengadakan perbincangan untuk mengenalpasti bentuk tindakan yang boleh diambil kepada Sumareh.
"Ketika ini, walaupun Sumareh merayu untuk meminta Pahang mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), PBNP tidak akan berbuat demikian sehingga mendapat keadilan sewajarnya.
"Berkaitan tuntutan yang perlu dibayar, PBNP pula setakat ini menyerahkan kepada peguam untuk menentukan jumlah berkenaan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum itu, kemelut perpindahan Sumareh memasuki episod baharu apabila ITC yang dipohon Persatuan Bolasepak Thailand (FA Thailand) ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Berikutan itu, FA Thailand mengambil 'jalan pintas' dengan memohon ITC sementara daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi membolehkan Sumareh beraksi dengan kelab Police Tero FC di liga negara itu.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, kes Sumareh masih belum diputuskan oleh mana-mana jawatankuasa FAM mengenai aduannya ke atas PBNP yang dikatakan gagal melunaskan tunggakan gajinya hingga mengaktifkan klausa 8.7 untuk menamatkan kontrak bersama skuad Tok Gajah.Mengikut rekod, pemain sayap berusia 26 tahun itu mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang sejak sebulan lalu.
Difahamkan, dia bertindak demikian kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP sekali gus memilih untuk memohon penamatan kontrak secara sebelah pihak dengan mengaktifkan klausa 8.7.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 10:56 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan