Sabtu, 8 April 2017

MPPJ Selangor makin bertenaga



ARKIB : 20/12/2003

Oleh YURI AZHAR MAZLAN

JUARA Piala Malaysia, MPPJ Selangor bakal diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain berpengalaman termasuk bekas penjaga gol Kedah, Mazlan Wahid, Faizal Zainal (Perak) dan penyerang Selangor, Nizaruddin Yusof untuk menghadapi cabaran baru Liga Malaysia musim depan.

Ketiga-tiganya akan mengisi kekosongan tiga tempat pemain musim lalu yang kontrak mereka tidak diperbaharui.

Mereka ialah Amirul, K. Nanthakumar dan V. Thinagaran.

Yang Dipertua MPPJ, Datuk Abdul Karim Munisar berkata, selain tiga pemain berkenaan, pasukan itu juga dijangka mendapatkan tenaga pemain dari Perlis, Khairon Khaled Masrom dan pemain tengah Sabah, Shahril Arsat yang kini sudah berlatih bersama pasukan itu.

Dua tonggak import Selangor musim lalu, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto masih kekal bersama MPPJ Selangor.

Pasukan itu kini sedang menimangkan kemungkinan untuk mengambil seorang lagi pemain dari Argentina, Gusten Martelotto, yang merupakan adik kepada Bruno.

Gusten pernah bermain bersama sebuah kelab di Greece. Bagaimanapun pengambilan pemain itu masih dipertimbangkan,'' katanya selepas majlis menandatangani jersi rasmi MPPJ Selangor tajaan Lotto di Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Lotto, Datuk Sri Ram Sarma.

Abdul Karim memberitahu Gusten dijangka tiba awal tahun depan sebelum bermulanya Piala Sumbangsih.

Seandainya Gusten dipilih untuk menyertai MPPJ Selangor, dia akan terus beraksi pada perlawanan itu.

MPPJ Selangor hanya akan mengambil tiga pemain import meskipun FAM membenarkan sesebuah pasukan mengambil empat pemain.

``Sebagai persiapan menghadapi cabaran baru musim depan, MPPJ Selangor kini merancang beberapa perlawanan persahabatan.

``MPPJ telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang sebuah pasukan dari Uzbekistan 17 Disember lalu. Dalam perlawanan itu, MPPJ Selangor menang 2-1,'' katanya.

Pada 4 Januari tahun depan, MPPJ Selangor akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang sebuah pasukan dari Cameroon di Stadium MPPJ, Kelana Jaya.

Tambahnya, perlawanan persahabatan jelajah utara pula akan diadakan pada bulan Januari tahun depan dengan bertemu Perlis di Stadium Kangar pada 7 Januari, menentang Kedah (9 Januari) di Stadium Darul Aman.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menawarkan MPPJ Selangor untuk menjadi tuan rumah Piala Sumbangsih.

Katanya, MPPJ Selangor telah bersetuju dengan tawaran FAM itu. Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium MPPJ.

Selain itu, Karim yakin MPPJ Selangor akan mengulangi kecemerlangan yang diperoleh tahun ini selepas menjadi juara pada perlawanan Piala Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dirn1JuP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan