PENYERANG Viatcheslav Melnikov (atas) meraikan
kejayaannya menghasilkan gol untuk Pulau Pinang bersama rakan sepasukan
Mat Saiful Sabtu ketika menentang Kedah dalam saingan bola sepak Liga
Super 2004 di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam. Pulau Pinang menang
3-2. -Gambar ISHAK RAHMAD.
PUBLIC BANK harus dilabel sebagai pasukan kelab yang digeruni dalam
kempen bola sepak Liga Super apabila kali ini mengikat juara Perdana
Satu musim lalu, Perak 1-1 dalam aksi di Stadium Shah Alam, semalam.
Skuad bimbingan E. Elvarasan itu menunjukkan kegagahannya seawal
babak permainan menerusi jaringan Milan Strelec pada minit kelima.
Perak bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian sepuluh minit kemudian.
Dalam pada itu, Pahang menebus kehampaan tewas pada aksi pertama
minggu lalu, apabila membenam Sabah 4-2 di Stadium Darul Makmur,
Kuantan.
Pasukan tuan rumah mendapat gol pembukaan menerusi pemain import,
Lucas Ariel apabila bola yang ditanduknya terus menerjah masuk ke gawang
Sabah seawal minit kedua.
Gol kedua Pahang menyusul pada minit ke-30 hasil tandukan pemain
Argentina, Fernando Horacio selepas menerima sepakan sudut yang diambil
oleh Lucas.
Namun begitu, pasukan Sabah tidak berputus asa apabila Keith Gumbs
berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-39 menerusi tandukannya yang
gagal diselamatkan oleh penjaga gol Pahang, Azmin Azram Aziz.
Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan penguasaan
mereka apabila pemain pertahanan, Rosdi Talib menyumbat masuk gol ketiga
pada minit ke-59 hasil sepakan percuma yang diambilnya di luar petak
penalti pasukan Sabah.
Penyerang Sabah, Josiah Seton kembali merapatkan jurang apabila menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-70.
Bagaimanapun, kegembiraan Sabah tidak kekal lama apabila selang
seminit selepas jaringan kedua Sabah, bekas pemain Perak, Indra Putra
Mahayudin menjaringkan gol keempat buat Pahang hasil rembatan deras pada
minit ke-71 menewaskan Khairul Azman.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang turut mencatat kemenangan pertama, menewaskan Kedah 3-2.
Gol skuad Pulau Mutiara dijaringkan oleh Viatcheslav Melnikov pada minit ke-34, Boris Ovcin (39) dan Nordin Khamis (76).
Kedah mendapat dua gol menerusi Leonarde Veron (23) dan Mohd. Rafdi Rashid (90).
Di Stadium Sarawak, tuan rumah diikat 1-1 oleh Perlis dengan pasukan
pelawat membuka jaringan menerusi tandukan pemain import, Philimon
Chipeta pada minit ke-10.
Sarawak menyamakan kedudukan 23 minit kemudian hasil tandukan Wong Sai Kong untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan