ARKIB : 27/07/2004
Kempen tahun ini hanya berbaki tiga dan empat perlawanan dan Telekom Melaka serta juara Piala Malaysia musim lalu, MPPJ Selangor meletakkan pasukan masing-masing pada posisi terbaik untuk `dinaik taraf' ke Liga Super musim depan apabila masing-masing gagah menguasai Kumpulan A dan B.
Skuad Telekom Melaka yang dibimbing jurulatih, Irfan Bakti mengumpul 43 mata selepas 20 perlawanan, hasil 14 kemenangan dan satu seri untuk menguasai Kumpulan A.
Namun, kedudukan Telekom Melaka belum lagi terjamin kerana Johor FC dan Selangor masing-masing hanya dua mata di tempat kedua dan ketiga manakala pasukan tangga keempat, PKNS hanya empat mata di belakang.
Kedudukan menarik itu jelas menunjukkan bahawa pertarungan merebut tempat ke Liga Super dari kumpulan ini sengit hingga ke akhir kempen.
Begitu juga Kumpulan B, penyandang juara Piala Malaysia, MPPJ Selangor menguasai tangga teratas dengan 41 mata tetapi mereka hanya dipisahkan empat mata dengan MK Land.
MPPJ cuma memiliki kelebihan dari segi kurang satu perlawanan berbanding MK Land yang telah bermain 21 perlawanan dan memiliki tiga baki pertarungan.
Namun berdasarkan prestasi semasa, MPPJ bimbingan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh mampu muncul juara kumpulan dan layak ke Liga Super.
Hanya juara kumpulan layak ke Liga Super musim depan manakala dua pasukan terbawah dalam Liga Super akan turun ke Liga Perdana.
Dalam pada itu pertarungan merebut empat tempat ke Piala Malaysia pula masih terbuka walaupun Telekom Melaka, Johor FC, Selangor dan PKNS dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk layak dari Kumpulan A.
Dari Kumpulan B pula, MPPJ, MK Land, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menguasai empat tempat teratas dan bakal layak ke Piala Malaysia jika masing-masing mampu mengekalkan prestasi.
Hanya 16 pasukan akan beraksi dalam Piala Malaysia. Pasukan yang layak bermain dalam pertandingan itu ialah semua lapan pasukan dalam Liga Super, empat pasukan teratas dari Kumpulan A dan empat pasukan teratas Kumpulan B.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan