ARKIB : 15/02/2004
PUBLIC Bank Selangor bangkit dua
kali untuk muncul pasukan paling bergaya pada hari pertama kempen bola sepak
Liga Super apabila menundukkan Kedah 4-3 di Stadium Darulaman, Alor Star
semalam, terima kasih pakar sepakan percuma, Ivan Ziga.
Namun, kejayaan Public Bank tidak
dicapai dengan mudah setelah Kedah dua kali mendahului, malah pada awalnya ke
kelihatan berada di laluan tepat untuk mencatat kemenangan mudah.
Skuad Kenari hanya mengambil masa
tidak sampai lima minit pertama untuk mendahului pelawat dengan dua gol.
Asmawi Hassan membuka tirai
jaringan gol Kedah apabila menyempurnakan peluang minit ketiga, dan hanya
semini t kemudian penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli menyambar hantaran
cantik Fauzi Shaari.
Namun, Mohd. Hardi Ahmad
menyuntik semula semangat rakan-rakan sepasukannya apabila menghasilkan gol
pada minit ke-16 sebelum pemain tengah dari Slovakia, Ivan Ziga menjadikan
kedudukan kembali seimbang dengan gol penyamaan minit ke-22.
Terkejut dengan saingan mantap
yang diberikan oleh Public Bank, Kedah memulakan babak kedua dengan aksi lebih
garang, untuk menghasilkan gol ketiga pada minit ke-49 menerusi tandukan
Leonardo Veron hasil hantaran lintang Fauzi.
Public Bank jelas tidak mudah
mengaku kalah dengan sekali pun kembali ketinggalan hanya empat minit selepas
permainan disambung.
Mereka perlahan-lahan mengatur
kembali gerakan dan kembali mengancam kubu tuan rumah.
Keputusan mengejut sudah mula terbayang
apabila penyerang terbaru Public Bank, Gustavo Fuentes dari Argentina menyepak
masuk gol penyamaan 3-3 pada minit ke-71.
Ketika permainan menuju wisel
penamat, kesilapan Kedah memberikan Public Bank sepakan percuma berhampiran
kawasan gol pada minit ke-82 jelas membawa padah yang terlalu berharga buat
mereka.
Ziga tidak mensia-siakan
kepakarannya dengan rembatan kencang yang menggegar gawang Kedah sekali gus
memastikan Public Bank pulang dengan tiga mata.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dwDTcdBW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan