Selasa, 25 April 2017

MPPJ ungguli Kumpulan B Liga Perdana

ARKIB : 05/08/2004
JUARA Piala Malaysia, MPPJ Selangor muncul juara Kumpulan B bola sepak Liga Perdana setelah menundukkan SKMK Kelantan 5-2 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam ketika persaingan untuk merebut gelaran Kumpulan A masih lagi terbuka.
Ia sekali gus menjadikan MPPJ sebagai pasukan pertama menempah tempat ke Liga Super pada musim depan.
MPPJ, yang masih memiliki baki satu perlawanan, telah mengumpul 45 mata untuk tidak lagi mampu dikejar oleh MK Land, pesaing terdekat yang akan mereka temui dalam perlawanan terakhir Ahad ini.
Mereka bagaimanapun masih perlu menunggu siapakah lawan yang akan ditemui untuk merebut gelaran juara Liga Perdana dalam perlawanan playoff pada 14 Ogos setelah persaingan untuk merebut takhta Kumpulan A masih terbuka di antara Selangor dan Telekom Melaka.
Selangor merampas tangga teratas Kumpulan A semalam setelah menumpaskan Johor FC 2-0 di Stadium Shah Alam untuk memiliki kelebihan dari perbezaan jumlah gol setelah masing-masing mengumpul 47 mata.
Johor FC telah menghabiskan kesemua 24 perlawanannya, dan dengan itu membuka persaingan untuk merebut gelaran juara Kumpulan A kepada hanya Selangor dan pasukan di tangga ketiga, Telekom Melaka.
Selangor memiliki baki perlawanan dengan Tentera pada Ahad ini manakala Telekom Melaka yang mengumpul 46 mata memiliki peluang lebih cerah kerana masih berbaki dua perlawanan - menentang Brunei malam ini dan TNB Kelantan pada Sabtu.
Sementara itu, pasukan di tangga keempat Kumpulan A, PKNS Selangor sekadar seri tanpa jaringan dengan TNB Kelantan di Stadium UiTM, Shah Alam untuk mengumpul 43 mata.
Bagaimanapun, PKNS bersama-sama Selangor, Telekom Melaka dan Johor FC sudah melayakkan diri ke persaingan Piala Malaysia.
Pasukan di tangga kelima Kumpulan B, Terengganu terlepas peluang untuk merebut tempat ke Piala Malaysia setelah seri 0-0 dengan Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru.
Terengganu kini mengumpul 32 mata, dan walaupun mereka memenangi perlawanan terakhir kelak harapan untuk memintas kedudukan Negeri Sembilan di tangga keempat sudah terhapus.
Johor pula kekal di tangga keenam dengan 31 mata.
Negeri Sembilan terjatuh satu anak tangga dari tempat ketiga selepas dikejutkan oleh pasukan tercorot, Kelantan dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Keputusan itu menyaksikan mereka dipintas oleh Kuala Lumpur yang seri 2-2 dengan Melaka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kongsi Konten di :



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan