Isnin, 24 April 2017

Telekom Melaka di tangga teratas

ARKIB : 26/07/2004
PERSAINGAN dalam Kumpulan A bola sepak Liga Perdana semakin sengit apabila tangga teratas berpindah tangan kepada Telekom Melaka manakala dalam Kumpulan B, MPPJ Selangor terus mengukuhkan cengkamannya walaupun sekadar seri dalam persaingan semalam.
Di Stadium Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Telekom Melaka menundukkan pasukan tangga tercorot, JPS Kelantan 3-0 sekali gus membolehkan mereka merampas kedudukan teratas Kumpulan A daripada Johor FC.
Telekom kini mengumpul 43 mata daripada 20 perlawanan, dua di depan Johor FC yang telah beraksi lebih satu perlawanan.
Selangor pula melonjak ke tangga ketiga hasil kemenangan 1-0 ke atas TNB Kelantan di Stadium Shah Alam. Kemenangan itu memberikan mata ke-41 buat Selangor selepas 20 perlawanan, memintas PKNS yang mengumpul 39 mata.
Dalam pertembungan di Stadium TLDM, Lumut, Tentera dan Polis sama kuat apabila seri 2-2.
Dalam persaingan Kumpulan B, Terengganu terlepas mata penuh apabila Shahril Arsat menjaringkan gol penyamaan 2-2 untuk MPPJ pada minit kecederaan perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
MPPJ kini mengumpul 41 mata selepas 20 perlawanan, lima mata di depan pasukan di tangga kedua, MK Land yang sekadar seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium MPS, Selayang.
Kuala Lumpur pula merampas tangga ketiga daripada Negeri Sembilan apabila menundukkan Johor 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru. Kuala Lumpur kini mengumpul 32 mata, Negeri Sembilan 29 mata manakala Johor di tempat kelima dengan 27 mata.
Melaka menundukkan SKMK Kelantan 1-0 di Stadium Hang Tuah, sekali gus mengambil alih kedudukan ketujuh dengan 23 mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan