Sabtu, 1 April 2017

Bola sepak Perdana Satu - Tempat teratas curi tumpuan



ARKIB : 14/06/2003

SAINGAN Liga Perdana Satu semakin menarik dengan perebutan tempat teratas terus mencuri tumpuan dalam aksi yang pasti mendebarkan peminat bola sepak tanah air hari ini.

Perak yang menguasai takhta setakat ini dengan mengumpul 33 mata akan diberi cabaran sengit oleh pasukan bergelar Singa Utara iaitu Perlis di Stadium Utama, Kangar.

Pastinya Perak perlu memenangi perlawanan tersebut kerana sebarang kesilapan yang membawa kepada kekalahannya sudah pasti membuka laluan luas kepada pencabar terdekat untuk merampas kedudukan pendahulu.

Namun, berdasarkan kemampuannya sebelum ini, Perak perlu bangkit memperbaiki mutu permainannya khususnya di bahagian serangan bagi mencari seberapa banyak gol.

Ini terbukti persembahan hambar ketika menang tipis 1-0 ke atas Kelantan yang masih belum dapat menggembirakan pengurus Datuk Jamal Nasir Rasdi.

Jika Perak kalah, Kedah yang kini menduduki tangga kedua dengan 30 mata berpeluang besar merampas kedudukan skuad Seladang.

Bagaimanapun, Kedah perlu menang ke atas Melaka di gelanggang sendiri Stadium Darulaman.

Walaupun menentang pasukan tangga kedua tercorot, Kedah tidak memandang rendah keupayaan lawan apatah lagi bagi Melaka yang sudah tentu ingin bangkit mencari kemenangan demi menjaga maruah.

Telekom Melaka pula akan menentang Selangor di Stadium Hang Tuah yang mungkin menjadi penilaian terhadap skuad Red Giants sama ada sudah terjaga dari lamunan.

Selepas kemenangan besar 4-1 ke atas Kedah, Selangor perlu menewaskan Telekom Melaka untuk mencari kedudukan yang lebih baik setelah ketinggalan sekian lama.

Juara Piala Malaysia 2002 itu perlu menjadi sebuah pasukan sebagaimana sebelum ini, mencuri tumpuan bukan sahaja di Lembah Klang, malah seluruh negara.

Sekiranya prestasi Selangor tidak menentu, pasti populariti skuad Merah Kuning itu akan dibayangi pasukan lain terutama Perak.

Di Kuching, Sarawak akan menerima tentangan sengit Pulau Pinang yang mahukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukannya di tangga keempat dengan mengumpul 26 mata.

Kelantan menentang Johor FC di Stadium Sultan Mohamed 1V, Kota Bharu - gelanggang sendiri yang seharusnya menjadi pembakar semangat skuad Kijang untuk memungut mata penuh.

Sementara pasukan tercorot Terengganu yang beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang Sabah.

Sebagai pasukan paling bawah, apakah Terengganu akan terus ditimpa kekalahan apabila bertemu Sabah atau pun pasukan berkenaan tidak mahu dimalukan lagi.

Penyokong setia Terengganu sudah pasti tidak sanggup melihat pasukan mereka ditewaskan lagi dalam perlawanan hari ini.

Mereka mahu melihat Terengganu menang, sekurang-kurangnya dapat mengubat luka walaupun peluang untuk berada setanding dengan pasukan elit tidak ada lagi.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cyv3XxFD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan