Jumaat, 31 Mac 2017

Perdana Dua tercemar



ARKIB : 24/04/2003
 
Pengadil dan penjaga garisan cuba menenangkan keadaan setelah Abdul Latif Jusoh (terbaring) dikasari pemain Brunei, Mohd. Saiful Rizal Awang dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-iv, Kota Bharu semalam. - Gambar rosni masri.

PERTEMUAN dua pasukan Perdana Dua di antara SKMK Kelantan dan Brunei di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu semalam dicemari oleh beberapa insiden yang hampir mencetuskan pergaduhan dengan menyaksikan tiga pemain dilayangkan kad merah.

Mereka yang dibuang padang ialah Mohd. Saiful Rizal Awang dan Mark William Tomas dari Brunei serta pemain SKMK, Abdul Latif Jusoh. Kehilangan dua pemain bagaimanapun tidak menghalang Brunei untuk mencipta kemenangan 1-0 menerusi tandukan Mohd. Brian Iman pada minit ke-34.

Kekecohan berlaku selepas kejadian siku-menyiku antara Mohd. Saiful dengan Abdul Latif dalam satu perebutan. Beberapa penyokong tuan rumah cuba menyerbu bilik persalinan pasukan pelawat kerana tidak puas hati dengan tindakan Mohd. Saiful tetapi berjaya ditenangkan oleh polis.

Sementara itu, Sapian Wahid mencipta jaringan hatrik untuk membantu Sarawak menang 5-1 ke atas Kelantan pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Sarawak, Kuching.

Dua lagi gol tuan rumah disumbangkan oleh Robert Ishun pada minit ke-10 dan Ramles Sari 78 manakala Mohd. Hardi Ahmad menolak masuk gol tunggal Kelantan minit ke-66.

Di Johor Bahru, Johor mengukuhkan kedudukan di tangga pertama apabila menewaskan MPPJ Selangor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Daniel Watkins menghadiahkan gol kemenangan Johor pada minit ke-42 selepas Mohd. Farid Ideris menjaringkan gol pertama pada minit ke-30. Gol tunggal MPPJ dijaringkan oleh Juan Manuel Arostegui pada minit ke-38.

Sementara itu, jaringan Rosdi Tahir pada minit ke-18 membantu Tentera menang 1-0 ke atas pasukan terbawah liga, TKN Perak di Stadium TLDM, Lumut.

Malangnya, Rosdi dibuang padang pada minit ke-88 kerana berlaku kasar ke atas seorang pemain pelawat.

Negeri Sembilan pula berpesta gol apabila mengalahkan Polis 5-1 di Stadium Selayang.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur menang selesa ke atas Kelantan JPS apabila membenam pasukan pelawat itu 3-1.sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ctsOjQ2Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan