Jumaat, 17 Mac 2017

Semua pasukan tuan rumah terselamat



ARKIB : 02/04/2001
Pemain-pemain Terengganu menjulang Pengurus Pasukan Terengganu, Che Mat Jusoh selepas mereka menjuarai Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. - Gambar Abd. Rahman Saleh .

HARI pertama kempen bola sepak Perdana Satu menyaksikan semua pasukan tuan rumah terselamat tetapi Terengganu mencipta kejayaan lebih bergaya apabila merangkul Piala Sumbangsih.

Kejayaan Terengganu juga menjadi kenangan manis kepada jurulatih, Mat Zan Mat Aris selepas mencipta kejayaan serupa dengan Kuala Lumpur tahun lepas.

Terengganu, bekas juara Piala FA tahun lepas, merangkul Piala Sumbangsih selepas menumpaskan juara Piala Malaysia, Perak 4-0 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Kemenangan itu juga bermakna Mat Zan tidak pernah kempunan piala sejak 1999 apabila membimbing bekas pasukannya, Kuala Lumpur menjulang Piala FA.

Namun, bagi Mat Zan, yang penting ialah Terengganu cepat pulih daripada kekecewaan tersingkir daripada di pusingan ketiga pertandingan Piala FA kepada Johor FC untuk mencatatkan kemenangan besar ke atas Perak.

``Kemenangan ini sudah tentu melegakan kita kerana Perak menurunkan semua pemainnya termasuk Ahmad Shahrul (Azhar) dan Azrul (Amri Burhan),'' katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Shahrul tidak bermain sebelum ini kerana beraksi dengan pasukan kebangsaan sementara Azrul digantung perlawanan. Sementara itu, bekas juara berganda, Johor masih belum pulih daripada prestasi yang merudum teruk sejak tahun lepas apabila sekadar seri 0-0 dengan Kelantan.

Pulau Pinang pula gagal melunaskan dendam ke atas Selangor, pasukan yang menyingkirkan mereka ke tangga kedua pada hari terakhir liga tahun lepas. Malah, skuad Harimau Kumbang hampir kempunan mata apabila ketinggalan sebaik sahaja babak kedua bermula, tetapi diselamatkan oleh jaringan penyamaan S. Nanthakumar untuk seri 1-1.

Kecuali, Pulau Pinang dan Johor, pasukan tuan rumah lain nampak gagah apabila menggunakan kesempatan untuk merebut tiga mata di gelanggang sendiri. Perlis, yang hampir menyingkirkan Selangor dari saingan Piala FA, nampak gagah di gelanggang sendiri apabila mengutip mata penuh dengan menumpaskan Kuala Lumpur 1-0 dan Sarawak turut menewaskan Melaka dengan jumlah jaringan yang sama.

Namun, Pahang yang menduduki tangga ketujuh tahun lepas, mencuri tumpuan apabila makan - menumpaskan naib juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan 6-2

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bZKtXnJ5© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan