ARKIB : 24/07/2000
AKSI bola sepak Liga Perdana
yang menuju ke penghujung babak semakin menarik dengan persaingan merebut
gelaran Perdana Satu dan Dua kian mendebarkan.
Baki dua perlawanan esok dan
Sabtu ini bakal menentukan keputusan dan nasib Pulau Pinang dan Selangor mahu
pun Perak dalam Perdana Satu.
Manakala Kelantan dan Melaka
berentap untuk menentukan siapa pula Raja Perdana Dua pada perlawanan terakhir
mereka, Jumaat ini.
Jika diimbas kedudukan dalam
Perdana Satu, cuma tiga pasukan, Pulau Pinang, Selangor dan Perak berpeluang
merangkul juara. Pasukan tangga keempat, Negeri Sembilan sudah terkeluar
daripada persaingan.
Naib juara liga musim lalu,
Pulau Pinang gagal melebarkan kedudukan apabila seri tanpa jaringan dengan
Sabah di Likas kelmarin untuk memaksa mereka berkongsi 39 mata dengan Selangor.
Tugas sukar menanti mereka
dalam dua baki perlawanan nanti apabila terpaksa berdepan dengan Kuala Lumpur
esok.
Kuala Lumpur turut menunjukkan
kebangkitan saat akhir dengan kemenangan 2-0 ke atas juara Piala FA, Terengganu
untuk mengukuhkan kedudukan antara sembilan pasukan Perdana Satu layak secara
automatik ke Piala Malaysia.
Tetapi Pulau Pinang tidak
menghadapi masalah membawa pulang tiga mata apabila menutup kempen liga
menentang pasukan tangga terbawah, Brunei Sabtu ini.
Selangor bernasib baik. Mereka
diberi nafas dengan anugerah tiga mata daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) pada ketika harapan untuk merangkul juara seakan sudah lebur.
Tetapi Sabah bagaikan
menyelamatkan Selangor menerusi ''kesilapannya'' menurunkan pemain yang
digantung perlawanan.
Dan skuad Red Giants tidak
mensia-siakannya untuk terus menekan Pulau Pinang. Kejayaan mengatasi Brunei di
tempat lawan kelmarin, jelas penting buat pasukan K. Rajagopal.
Irfan Bakti pasti tidak senang
duduk. Beliau pasti gagal jika aksi longlai yang dipamerkan anak buahnya ketika
menentang Sabah kelmarin, diulangi dalam dua baki perlawanan ini.
Namun, Selangor turut
menghadapi tentangan getir dalam baki dua perlawanan mereka apabila terpaksa
berdepan dengan Sarawak dan Negeri Sembilan.
Kedua-dua pasukan itu mencatat
kemenangan kelmarin.
Ruang terbaik buat Perak, yang
mendapat sentuhan saat akhir bekas jurulatih mereka musim lalu, Karl Heinz
Weigang untuk memintas kedua-dua pasukan teratas itu.
Hanya dua mata memisahkan
mereka dengan dua pasukan itu dan tidak mustahil Perak, juara Piala Malaysia
1998, mampu merangkul kejuaraan liga.
Syaratnya, Perak perlu
menumbangkan Perlis dan Pahang dan mengharapkan Pulau Pinang dan Selangor tewas
dalam dua baki perlawanan masing-masing.
Aksi Perdana Dua turut hangat,
apa lagi Jumaat ini adalah aksi terakhir yang bakal menentukan juara.
Kelantan perlu menang ke atas
Kedah untuk menamatkan penantian panjang mereka. Seri masih membuka peluang
tetapi terpaksa mengharapkan Melaka dikejutkan oleh KL Malay Mail.
Apa pun, persaingan pada babak
akhir Perdana Satu dan Dua ini tidak harus dilepaskan oleh peminat. Ia pasti
menjanjikan satu aksi yang menarik.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4aYVipNNH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan