ARKIB : 14/04/2003
Oleh Johari Shawal
MULAI musim depan, kempen bola
sepak Liga Malaysia tidak lagi menggunakan format pertandingan dengan nama Liga
Perdana Satu dan Dua sebaliknya memperkenalkan dua liga baru iaitu Liga Super
dan Liga Perdana.
Liga Super dianggap kejuaraan
liga paling berprestij dalam semua kejohanan domestik selain Piala Malaysia. Ia
menggantikan Liga Perdana Satu dan hanya melibatkan lapan pasukan.
Manakala Liga Perdana Satu dan
Dua kini ditukar kepada Liga Perdana yang melibatkan 18 pasukan yang
dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan disertai sembilan
pasukan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) melakukan perubahan itu dengan harapan bola sepak tempatan akan kembali
diminati dan menjadi lebih menarik.
Lapan pasukan yang bertarung
dalam Liga Super untuk musim 2004 bakal disertai oleh pasukan yang dipilih
daripada Liga Perdana Satu dan Dua musim ini.
Enam pasukan teratas yang
menamatkan Perdana Satu musim ini akan layak secara automatik ke Liga Super.
Dua lagi pasukan ke Liga Super
akan ditentukan menerusi playoff antara tempat ketujuh dan kelapan Perdana Satu
dengan juara dan naib juara Perdana Dua musim ini.
Manakala dalam Liga Perdana, dua
pasukan teratas dari setiap kumpulan akan bertarung dalam separuh akhir dan
akhir untuk menentukan juara Liga Perdana.
Sebelum ini, juara liga Perdana
Satu dan Dua ditentukan hanya berdasarkan kepada pasukan paling atas selepas
menamatkan semua perlawanan.
Sebanyak 18 pasukan dalam Liga
Perdana dibentuk daripada dua pasukan kalah dalam playoff, lima pasukan
terbawah Perdana Satu 2003 dan 10 pasukan terbawah dari Perdana Dua 2003. Satu
lagi pasukan ialah skuad bawah 20 kebangsaan.
Format pertandingan Liga Super
dan Liga Perdana turut diubah dengan perlawanan dilangsungkan sebanyak tiga
pusingan iaitu tempat sendiri, tempat lawan dan kembali ke tempat sendiri.
Contohnya, pusingan pertama
perlawanan antara Selangor dan Perak dimainkan di Shah Alam dan pusingan kedua
di Ipoh dan kedua-dua pasukan akan kembali bertarung dalam pusingan ketiga di
Shah Alam. Kutipan tiket untuk ketiga-tiga pusingan itu akan dikongsi bersama
oleh kedua-dua pasukan.
Perlawanan playoff untuk Liga
Super akan dilangsungkan akhir tahun ini.
Semua perubahan itu pada dasarnya
telah dipersetujui oleh Majlis FAM semasa mesyuarat majlis itu di Kuala Lumpur,
semalam.
Bagaimanapun, perubahan itu akan
diusulkan kepada Kongres FAM yang akan bermesyuarat bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad ketika mengumumkan perkara itu
berkata, perubahan itu dibuat bukan sebagai percubaan tetapi sebagai usaha
meningkatkan mutu bola sepak tempatan.
``Mungkin ini adalah caranya
supaya bola sepak kita boleh meningkat dan maju. Hanya pasukan terbaik layak
bertarung dalam Liga Super,'' katanya.
Perubahan lain yang dibuat oleh
FAM bermula musim 2004 seperti berikut:
* Piala Malaysia disertai 16
pasukan iaitu lapan pasukan dari Liga Super dan lapan dari Liga Perdana.
* Mereka dibahagikan kepada empat
kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri empat pasukan.
* Piala Sumbangsih antara juara
Piala Malaysia dengan juara Piala FA tidak lagi memperuntukkan mata untuk liga.
* Piala FA disertai 26 pasukan
iaitu lapan pasukan dari Liga Super dan 18 pasukan dari Liga Perdana dengan
format kalah mati timbal balik.
* Liga FAM ditukar kepada
Kejohanan Kelab Perdana yang melibatkan 16 pasukan dengan format pertandingan
serupa dengan Liga Perdana.
* Untuk musim 2005, dua pasukan
terbawah dari Liga Super turun ke Liga Perdana tetapi semua pasukan layak ke
Piala Malaysia.
* Empat pasukan teratas dari
setiap kumpulan Liga Perdana layak ke Piala Malaysia.
* Dua pasukan finalis Liga
Perdana dinaikkan ke Liga Super.
* Setiap pasukan dibenarkan
mendapatkan tiga pemain import.
* Liga Super hanya menggunakan
pemain profesional.
* Liga Perdana pula dibenarkan
dengan minimum 10 pemain profesional
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ctKdIW3a
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan